Singapura terus mengekalkan rekod melebihi purata sejagat pada 2024 bagi Program Diploma International Baccalaureate (IBDP).
Bermula dengan sesi November 2024, IB telah mempercepatkan pengumuman keputusan peperiksaan, yang sebelum ini dilakukan pada Januari, bagi membantu pelajar memenuhi tarikh akhir permohonan masuk ke universiti pada Disember.
Atlet-pelajar IBDP Sekolah Sukan Singapura (SSP) sekali lagi mencapai kadar kelulusan 100 peratus, dengan kesemua mereka layak memasuki universiti tempatan dan luar negara, kata SSP.
Lebih 75 peratus daripada 30 atlet-pelajar memperoleh sekurang-kurangnya 38 mata daripada maksimum 45 mata, seperti yang diumumkan dalam keputusan peperiksaan IBDP 2024.
Dua sekolah lain – Institusi St Joseph (SJI) dan Sekolah Seni Singapura (Sota) – turut menyaksikan pelajar mereka mencatat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Seramai 2,442 pelajar di Singapura menduduki peperiksaan diploma IB pada November 2024. Purata markah mereka ialah 38.4, lebih tinggi daripada purata sejagat iaitu 29.2.
Organisasi IB berpangkalan di Switzerland, yang mengendalikan peperiksaan tersebut, menyatakan bahawa pelajar Program Diploma (DP) dan Program Berkaitan Kerjaya (CP) di Singapura menerima keputusan mereka pada 17 Disember.
Terdapat seramai 21,894 calon di peringkat sejagat.
Di Singapura, 22 sekolah menawarkan program IB. Antara sekolah tersebut ialah SJI, Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) (ACS (I)), SSP, Sota dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Pelajar dari sekolah antarabangsa ACS, SJI, dan Hwa Chong turut menerima keputusan mereka.
SSP, dalam kenyataannya, berkata atlet-pelajar mereka telah mengikuti perjalalanan yang jarang dilalui demi mengejar kecemerlangan dalam sukan berprestasi tinggi sambil mengimbangi pembelajaran akademik dalam IBDP yang mencabar.
Daripada 30 atlet-pelajar itu, 23 daripada mereka berjaya menyertai Skuad Remaja Kebangsaan atau Pasukan Kebangsaan dalam sukan masing-masing semasa masih menuntut di sekolah itu, tambah SSP.
SSP turut menawarkan IBDP dua tahun biasa dan tiga tahun lanjutan mengikut rancangan pertandingan sukan yang diperlukan untuk setiap atlet-pelajar.
Semua enam atlet-pelajar dalam program lanjutan itu mencapai 38 mata atau lebih dan mewakili Singapura dalam pertandingan peringkat antarabangsa.
Pengetua SSP, Encik Ong Kim Soon, memuji usaha atlet-pelajar dan berkata mereka telah “membuat pengorbanan untuk mengejar impian mereka mewakili Singapura dengan memilih jalan yang berbeza daripada kebanyakan rakan sebaya mereka”.
Beliau menambah bahawa melalui pencapaian itu, mereka telah membuktikan bahawa “sukan berprestasi tinggi dan program akademik yang padat boleh berjalan seiring”.
Sota turut menyaksikan lebih 50 peratus pelajar mereka yang menduduki peperiksaan IB memperoleh 38 mata dan ke atas.
Sota, dalam kenyataannya pada 18 Disember, berkata: “Seramai 159 pelajar menduduki peperiksaan IB pada 2024, dengan lebih daripada seorang daripada dua pelajar IBDP mendapat 38 mata dan ke atas.”
Pelajar Program Berkaitan Kerjaya IB (IBCP) juga mencatat prestasi cemerlang dalam pelajaran berkaitan Kerjaya, Teras dan mata pelajaran DP mereka.
Di samping itu, Sota meraikan kumpulan pertama lulusan Seni Sastera sejak ia diperkenalkan sebagai subjek IB pada 2022.
SJI turut meraikan keputusan IB yang cemerlang, dengan 60 peratus pelajar mereka yang menduduki peperiksaan IBDP 2024 mencapai 40 mata dan ke atas.
“Sebagai satu kohort, mereka telah mencapai skor purata 40 mata, dengan kira-kira enam dalam 10 pelajar mendapat 40 mata dan ke atas,” kata sekolah itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg