PEMERINTAH akan memansuhkan Seksyen 377A dan menyifatkan hubungan seks antara lelaki yang rela dalam ruang privet bukan satu jenayah kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Namun demikian, pemerintah menurut Encik Lee akan terus melindungi dan mengukuhkan kepentingan perkahwinan antara lelaki dan wanita melalui dasar negara, sambil akur bahawa kebanyakan rakyat Singapura mahu mengekalkan masyarakat sedemikian.
Menjelaskan rasional pemansuhan, beliau menyatakan bahawa terdapat risiko besar undang-undang itu tolak oleh hakim dalam cabaran undang-undang masa depan, dan adalah tidak bijak mengabaikan perkara ini dan tidak berbuat apa-apa.
Berikutan keputusan kes mahkamah baru-baru ini, Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara telah menasihatkan bahawa sekiranya dicabar di mahkamah pada masa hadapan, terdapat risiko besar Seksyen 377A boleh digugurkan atas sebab ia melanggar peruntukan di bawah Perlindungan Setara dalam Perlembagaan kata Encik Lee.
Sikap masyarakat terhadap golongan homoseksual juga telah "berubah dengan ketara" dan sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan semula sama ada hubungan seks antara lelaki secara tertutup harus menjadi satu kesalahan jenayah, tambahnya.
"Kita perlu mencari cara yang betul untuk mendamaikan dan menampung kedua-dua adat istiadat tradisional masyarakat kita, dan aspirasi warga gay Singapura untuk dihormati dan diterima," katanya.
"Saya percaya (pemansuhan) adalah perkara yang betul untuk dilakukan, dan sesuatu yang kini diterima oleh kebanyakan rakyat Singapura. Ini akan membawa undang-undang selaras dengan adat istiadat sosial semasa, dan saya berharap, memberikan sedikit kelegaan kepada warga gay Singapura."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg