Topik diikuti
Pergi ke BHkuSektor amal diperkukuh: Bimbingan pemimpin dilancar, Akta Pertubuhan Amal disemak
Sektor amal diperkukuh: Bimbingan pemimpin dilancar, Akta Pertubuhan Amal disemak
Pemimpin pertubuhan amal akan dapat memanfaatkan panduan daripada pembimbing berpengalaman bagi memperkukuh kepimpinan dan tadbir urus organisasi masing-masing di bawah satu daya usaha baharu yang dilancarkan pada 15 Oktober.
Inisiatif bimbingan perintis Charity Elevate, yang diperkenalkan oleh Majlis Amal, akan memadankan ahli lembaga pengarah, ketua sumber manusia dan pegawai eksekutif utama dengan pembimbing yang mampu berkongsi pengetahuan serta pandangan mengenai pengurusan pertubuhan amal secara berkesan.
Pejabat Pesuruhjaya Pertubuhan Amal (COC) juga sedang menyemak Akta Pertubuhan Amal bagi memastikan rangka kerja kawal selia Singapura kekal relevan, dengan perancangan untuk mendapatkan pandangan pertubuhan amal berhubung perubahan yang mungkin dilaksanakan pada 2027.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, mengumumkan langkah tersebut pada 15 Oktober di Persidangan Tadbir Urus Pertubuhan Amal 2026 yang dihadiri lebih 600 pemimpin dan ahli lembaga pengarah pertubuhan amal.
“Penyertaan pelbagai peranan kepimpinan dalam daya usaha (bimbingan) ini menonjolkan satu perkara penting, iaitu setiap individu boleh memainkan peranan dalam tadbir urus yang baik.
“Ia merupakan tanggungjawab bersama merentasi pertubuhan amal. Apabila individu di setiap peringkat memainkan peranan, pertubuhan amal kita akan menjadi lebih kukuh,” katanya yang juga merangkap Menteri Kedua Pendidikan.
Setakat Disember 2024, terdapat 2,406 pertubuhan amal yang berdaftar di Singapura, meningkat daripada 2,398 pada 2023.
Satu kajian ke atas 540 pertubuhan amal di Singapura yang diterbitkan pada 2025 mendapati kebanyakan organisasi masih mempunyai ruang untuk mempertingkat keupayaan organisasi mereka, terutama dalam pengurusan kakitangan dan sukarelawan.
Laporan Landskap Kitaran Hayat Pertubuhan Amal tersebut bertujuan memahami dengan lebih baik kematangan organisasi dan keperluan keupayaan pertubuhan amal.
Kajian berkenaan mendapati hanya 33 peratus responden menilai diri mereka telah mencapai peringkat matang dalam pengurusan sumber manusia.
Sebanyak 60 peratus menganggap diri mereka masih di peringkat permulaan atau pertumbuhan dalam aspek berkenaan.
Meskipun banyak pertubuhan amal menilai diri mereka sebagai matang dari segi tadbir urus dan pentadbiran, laporan itu mengenal pasti jurang dalam keupayaan berkaitan pengurusan serta pekerja, termasuk penyelarasan sukarelawan dan pelan latihan berstruktur.
Bagi tempoh tiga tahun akan datang, Pejabat COC dan Majlis Amal akan mengadakan sesi libat urus dengan pertubuhan amal merentasi pelbagai sektor bagi berkongsi dapatan laporan tersebut dan menjalinkan kerjasama bagi memperkukuh keupayaan jangka panjang mereka.
Mengenai semakan Akta Pertubuhan Amal, Encik Neo berkata pemerintah ingin memastikan rangka kerja kawal selia terus menyokong peranan pertubuhan amal, di samping membina keyakinan awam.
Pandangan pelbagai agensi dan rakan kongsi sedang didapatkan mengenai aspek yang boleh diperkukuh di bawah Akta tersebut, dan perbincangan kumpulan tumpuan bakal diadakan bersama pertubuhan amal pada 2027 bagi mengumpul pandangan mereka.
“Penyertaan anda amat penting bagi membantu kami mencapai keseimbangan yang tepat antara memperkasa keupayaan pertubuhan amal untuk berbuat kebaikan, dengan membolehkan campur tangan sekiranya timbul isu tadbir urus,” kata Encik Neo.
“
“Penyertaan pelbagai peranan kepimpinan dalam daya usaha (bimbingan) ini menonjolkan satu perkara penting, iaitu setiap individu boleh memainkan peranan dalam tadbir urus yang baik. Ia merupakan tanggungjawab bersama merentasi pertubuhan amal. Apabila individu di setiap peringkat memainkan peranan, pertubuhan amal kita akan menjadi lebih kukuh.