SEKTOR makanan dan minuman (F&B) mencatatkan pertumbuhan kukuh sekitar 30 peratus antara Jun dengan September lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Kenaikan dalam suku ketiga itu didorong pertumbuhan bagi syarikat katering, restoran, kafe, pusat makanan dan tempat makan lain, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Sektor dagangan runcit juga berkembang dalam suku ketiga, melonjak 8.9 peratus berbanding tahun lalu, melanjutkan lagi pertumbuhan 12.3 peratus yang dicatat dalam suku kedua.
Akhbar The Straits Times yang memetik ketua bersama kajian makro serantau di Maybank, Dr Chua Hak Bin, berkata sedang pembukaan semula mendorong pertumbuhan dalam sektor penerbangan dan barisan yang berhadapan pelanggan tahun ini, beberapa segmen masih belum kembali kepada paras sebelum pandemik.
"Seperti contoh, sektor binaan, adalah sekitar 18 peratus di bawah paras sebelum pandemik.
"Penginapan dan F&B sekitar 10 peratus di bawah paras sebelum pandemik.
"Sementara ketibaan pelancong masih kurang 60 peratus daripada paras sebelum pandemik dengan pelawat dari China yang tidak datang ke mari," katanya.
Beliau menambah:
"Pembukaan semula Singapura, kembalinya para pekerja asing dan peralihan tumpuan China daripada sifar Covid-19 akan menyokong pertumbuhan penerbangan, hospitaliti dan segmen perkhidmatan yang berhadapan pelanggan tahun depan.
"Sektor binaan akan pulih ke paras sebelum pandemik sepanjang dua tahun akan datang sedang lebih ramai pekerja asing kembali ke mari."
Namun pasaran pekerja yang ketat dan kadar inflasi yang tinggi menyebabkan kos operasi dan gaji meningkat, yang mungkin akan menjejas pertumbuhan tahun depan, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg