YAYASAN Temasek bersama beberapa entiti Singapura dan Indonesia mendermakan lebih 11,000 pemekat oksigen untuk membantu usaha Indonesia menghadapi pandemik Covid-19.

Bekalan pertama sebanyak 1,500 unit telah dihantar dan dijangka tiba di Jakarta sepenuhanya hari ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan yayasan tersebut semalam.

Pemekat oksigen tersebut, yang merupakan alat pernafasan tidak invasif kelas perubatan, akan dihantar Kementerian Kesihatan Indonesia ke hospital untuk merawat pesakit dengan masalah pernafasan.

Keadaan pandemik di Indonesia kian genting, dengan negara itu melaporkan 40,427 kes jangkitan Covid-19 dan 891 kematian kelmarin.

Secara keseluruhan, lebih 2.5 juta kes jangkitan Covid-19 telah dicatatkan di sana dan angka korban mencapai hampir 70,000.

Lebih banyak unit akan dihantar secara beransur-ansur dalam tempoh beberapa minggu akan datang, tambah kenyataan itu lagi.

Entiti lain yang telah menyumbang kepada bantuan tersebut termasuk Yayasan Bakti Barito, Indies Capital Partners, Sinar Mas, Yayasan CapitaLand, bank DBS dan Singtel.

"Sumbangan ini menjadi lebih mudah dengan kemurahan hati masyarakat perniagaan Indonesia di Singapura dan juga perniagaan Singapura, yang telah memberikan bantuan mereka dalam usaha menghadapi Covid-19 bersama," menurut Yayasan Temasek.

Dalam kenyataan berasingan bank DBS mengumumkan bahawa ia telah menyumbang 1,000 pemekat oksigen kepada usaha tersebut.

Bantuan yang diberikan sektor privet kepada Indonesia ini menyusuli tindakan Singapura menghantarkan bekalan bantuan perubatan ke Indonesia, pada minggu lalu.

Laporan lanjut:

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti