Topik diikuti
Pergi ke BHkuSektor penerbangan akan terus hadapi masalah tenaga kerja
Sektor penerbangan akan terus hadapi masalah tenaga kerja
Sektor penerbangan akan terus hadapi masalah tenaga kerja
SEKTOR penerbangan di seluruh dunia mungkin terus menghadapi masalah tenaga kerja dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, kata ketua eksekutif kumpulan Malaysia Airlines, Encik Izham Ismail.
Beliau berkata kekurangan tenaga kerja telah ketara di Eropah dan dalam Asean, termasuk di Singapura dan Malaysia.
"Orang ramai tidak tertarik untuk kembali ke persekitaran syarikat penerbangan, kerana pertama sekali, sektor penerbangan sangat tidak menentu," kata Encik Izham.
"Kami memberhentikan orang ramai semasa pandemik ini dan (apabila) kami ingin memanggil mereka kembali untuk bekerja, mereka berfikir mereka berfikir dua kali," kata beliau kepada wakil industri pada sesi panel Pesta Penerbangan Asia di Suntec Singapura semalam, lapor The Straits Times.
Encik Izham berkata beberapa pekerja juga telah beralih ke ekonomi gig, yang merupakan isu berkaitan tenaga kerja lain.
Justeru, firma dalam industri penerbangan dan pembuat dasar perlu bekerjasama untuk menangani isu dan menarik perhatian pekerja ke sektor itu, katanya. Ini termasuk mendapatkan pekerja untuk mengisi pekerjaan di lapangan terbang seperti pengendali darat.
"Sumber adalah isu utama kami... syarikat penerbangan tidak boleh (memulihkan) kapasiti kembali secepat yang mereka mahu," kata Encik Izham.
Kadar pemulihan dalam trafik udara di rantau ini meningkat dengan ketara berikutan kelonggaran sekatan sempadan berkaitan Covid-19 awal tahun ini.
Sebagai contoh, Singapura berada di landasan untuk melebihi sasaran awal akhir tahun untuk memulihkan trafik penumpang udara kepada 50 peratus tahap pra-pandemik menjelang bulan ini.
Sektor penerbangan tempatan sedang berusaha mengambil pekerja untuk memulihkan 85 hingga 90 peratus tenaga kerja pra-pandemik menjelang akhir tahun ini. Ia telah kehilangan kira-kira sepertiga daripada 35,000 pekerjanya dalam dua tahun lalu.
Di negara seperti Britain, masalah tenaga kerja menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa membatalkan penerbangan dalam masa yang singkat.
Encik Izham berkata di sebalik masalah tenaga kerja, syarikat penerbangan kini terjejas oleh kenaikan inflasi dan harga bahan api yang melambung.
Encik Roy Toh, pengarah dan ketua pembangunan trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi (CAI), semasa berucap berkata bahawa CAI menjangka trafik penumpang berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun kira-kira 3.4 peratus sehingga 2040.
Ia juga menjangka trafik penumpang pulih ke tahap pra-Covid pada 2024, selaras dengan ramalan industri.
Pemulihan dipercepatkan dalam trafik udara antarabangsa dijangka di Asia Tenggara untuk tahun ini dan tahun depan, memandangkan negara-negara di rantau itu kini membuka sempadan mereka, kata beliau lagi.
