KEBANYAKAN negara Asia yang bergantung kepada pelancongan sedang berebut meningkatkan sumber bagi menampung kemasukan pelawat antarabangsa setelah kawalan sempadan dilonggarkan.

Walau bagaimanapun, syarikat penerbangan Asia masih belum mempercepat pengambilan kru penerbangan - kecuali Singapore Airlines (SIA).

Sebaliknya, syarikat penerbangan Timur Tengah kini ligat menarik kru kabin untuk menyertai mereka.

Malah, Emirates telah memulakan langkah merekrut 6,000 pramugari di peringkat sejagat di 30 bandar.

Menurut The Business Times (BT), tinjauan mereka di laman web 12 syarikat penerbangan yang beroperasi di Asia mendapati kumpulan SIA adalah satu-satunya yang merekrut juruterbang serta kru kabin manakala Eva Air dari Taiwan hanya mengambil juruterbang.

Cathay Pacific pula telah mengiklankan untuk juruterbang kadet, walaupun syarikat penerbangan yang berpangkalan di Hong Kong itu telah menghentikan sebahagian besar penerbangannya kerana sekatan sempadan yang ketat dan kuarantin mandatori di wilayah itu bagi menghapuskan virus Covid-19.

Namun demikian, syarikat penerbangan itu dikatakan akan mengundang semula bekas kakitangannya yang diberhentikan pada 2020 untuk mengemukakan "permohonan utama".

Ia bagi membolehkan mereka kembali terbang dengan syarikat penerbangan itu, sebagai persediaan rancangan syarikat penerbangan itu untuk meningkatkan kekerapan penerbangan.

AirAsia dan Korean Air tidak mengiklankan kru penerbangan, walaupun mereka telah melaporkan trafik penumpang yang lebih tinggi baru-baru ini.

Kedua-dua Malaysia dan Korea Selatan membuka semula sempadan mereka dan melonggarkan keperluan ujian Covid-19 pada masa yang sama seperti Singapura.

Malah, pembukaan semula sempadan secara umum di seluruh dunia membantu banyak syarikat penerbangan bangkit semula dari segi kewangan.

Antara 12 syarikat penerbangan yang ditinjau, Eva Air dan Korean Air berjaya memperoleh keuntungan dalam tahun kewangan terkini mereka.

Kebanyakan syarikat penerbangan lain yang melaporkan fiskal terkini mereka turut berjaya mengurangkan kerugian bersih berdasarkan pendapatan yang lebih tinggi, berbanding tahun sebelumnya.

SIA, melaporkan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak $7.6 bilion untuk tahun kewangan 2022 hingga Mac - kira-kira dua kali ganda dari tahun kewangan 2021.

Ia juga mengurangkan kerugian bersihnya sebanyak 78 peratus, kepada $962 juta.

Kumpulan itu turut melaporkan bahawa jumlah penumpangnya meningkat kepada 1.45 juta pada April - jumlah tertinggi sejak wabak Covid-19 mula melanda industri penerbangan pada awal 2020.

Perangkaan awal trafik bagi April, yang dikeluarkan Isnin lalu oleh Persatuan Penerbangan Asia Pasifik (AAPA), menunjukkan peningkatan prestasi 40 syarikat penerbangan antarabangsa yang berpangkalan di rantau ini.

Jumlah penumpang antarabangsa yang dibawa mencatat tiga kali ganda dari tahun ke tahun mencecah 4.8 juta pada April.