Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sektor swasta digesa henti guna nombor IC untuk pengesahan

Bagi elak penyamaran, akses kepada data peribadi tanpa kebenaran
Jun 26, 2025 | 7:06 PM
NRIC, MDDI, pengesahan, syarikat swasta
Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) menasihatkan pertubuhan dan syarikat yang masih menggunakan nombor NRIC penuh atau sebahagiannya sebagai kaedah pengesahan identiti, agar menghentikan amalan tersebut secepat mungkin.   - Foto UNSPLASH

Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) dan Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura menasihatkan pertubuhan dan syarikat swasta agar berhenti menggunakan nombor Kad Pengenalan Pendaftaran Kebangsaan (NRIC) sebagai kaedah mengesahkan identiti seseorang.

Demikian menurut satu makluman bersama PDPC dan CSA yang disiarkan di laman webnya pada 26 Jun.

Nasihat tersebut diberikan sebagai sebahagian usaha pemerintah sejak Januari untuk memastikan penggunaan nombor NRIC secara betul dalam sektor swasta bagi melindungi rakyat dengan lebih baik, menurut kenyataan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

“Nombor NRIC tidak seharusnya digunakan untuk membuktikan identiti seseorang berdasarkan pengakuannya sendiri, bagi tujuan mendapatkan akses kepada perkhidmatan atau maklumat yang dikhaskan untuk individu berkenaan,” jelas kenyataan MDDI.

“Adalah tidak selamat bagi sesebuah pertubuhan menggunakan nombor NRIC dengan cara ini kerana nombor NRIC seseorang mungkin diketahui orang lain.

“Ini membolehkan sesiapa sahaja yang mengetahui nombor NRIC untuk menyamar sebagai individu berkenaan dan dengan mudah mengakses data atau rekod peribadinya,” tambah MDDI.

Kementerian itu menarik perhatian bahawa pada masa ini, pelbagai pertubuhan sektor swasta masih memerlukan orang ramai menggunakan nombor NRIC mereka sebagai kata laluan bagi mendapatkan maklumat yang dikhaskan untuk mereka, contohnya, dokumen insurans.

Ia menasihatkan pertubuhan dan syarikat yang masih menggunakan nombor NRIC penuh atau sebahagian sebagai kaedah pengesahan identiti, agar menghentikan amalan tersebut secepat mungkin, lapor The Business Times (BT).

Ini termasuk tidak menetapkan nombor NRIC sebagai kata laluan automatik dan tidak menggunakan nombor NRIC penuh atau sebahagian dengan data peribadi lain yang mudah diperoleh, seperti tarikh lahir.

“Jika pengesahan identiti seseorang diperlukan, sesebuah pertubuhan harus menimbangkan kaedah alternatif, contohnya memerlukan individu berkenaan menggunakan kata laluan yang kukuh, token keselamatan, atau pengesahan cap jari,” kata MDDI.

“Adalah tidak selamat bagi sesebuah pertubuhan menggunakan nombor NRIC dengan cara ini kerana nombor NRIC seseorang mungkin diketahui orang lain. Ini membolehkan sesiapa sahaja yang mengetahui nombor NRIC untuk menyamar sebagai individu berkenaan dan dengan mudah mengakses data atau rekod peribadinya.”
Kenyataan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg