SEJAK Disember lalu, sekurang-kurangnya 1,200 kes penipuan pancingan telah dilaporkan, dan varian penipuan yang melibatkan aplikasi e-dompet telah muncul semula, kata polis pada Khamis (13 Jan). Penipu itu akan membuat permohonan bagi e-dompet dengan maklumat yang didapatkan daripada mangsa yang menerima panggilan di aplikasi penghantaran mesej seperti WhatsApp, Viber dan IMO, kata polis dalam satu kenyataan media. Tidak diketahui berapa banyak daripada 1,200 kes itu adalah penipuan e-dompet. Pemanggil akan mendakwa mereka dari agensi pemerintah seperti Pasukan Polis Singapura atau Kementerian Tenaga Manusia. Mereka sering mempamerkan lencana rasmi atau gambar profil pegawai dari agensi-agensi itu. Malah ada yang memulakan panggilan video dengan memakai pakaian seragam seperti yang dipakai oleh pegawai polis. Mereka akan meminta mangsa memberikan maklumat peribadi mereka, kelayakan perbankan dan kata laluan sekali (OTP) untuk tujuan pengesahan atau untuk membantu siasatan. Penipu kemudiannya akan membuka e-dompet menggunakan aplikasi seperti DBS PayLah!, Singtel Dash atau GrabPay atas nama mangsa, dan menokok nilai e-dompet menggunakan akaun bank mangsa. Dalam sesetengah kes, mangsa diberitahu untuk membuat tokokan tunai ke dalam e-dompet di mesin AXS atau kedai serbaneka. Mereka kemudiannya akan menerima pemberitahuan bahawa pelbagai transaksi telah dibuat daripada akaun bank mereka melalui e-dompet itu. Mereka akan menyedari bahawa mereka telah ditipu hanya apabila mereka menghubungi bank mereka untuk mengesahkan transaksi ini.

Menekankan bahawa panggilan itu tidak dibuat oleh pegawai mereka, polis berkata: "Agensi pemerintah tidak akan sekali-kali menghubungi orang awam melalui aplikasi penghantaran mesej untuk mendapatkan maklumat peribadi, kelayakan perbankan atau OTP."