Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekurang-kurangnya 130 orang hilang lebih $180,000 dalam kes tipu pancingan data menerusi kiriman bungkusan
Sekurang-kurangnya 130 orang hilang lebih $180,000 dalam kes tipu pancingan data menerusi kiriman bungkusan

Sekurang-kurangnya 130 orang hilang lebih $180,000 dalam kes tipu pancingan data menerusi kiriman bungkusan
SEKURANG-KURANGNYA 130 orang telah kerugian sekitar $182,000 selepas terjerumus dengan penipuan pancingan data yang melibatkan penghantaran bungkusan sekitar dua minggu lalu.
Polis mengeluarkan kenyataan bagi menasihati orang ramai pada Khamis (15 Disember) di samping memberi amaran tentang kemunculan semula penipuan pancingan data itu semasa musim perayaan.
Mangsa akan menerima e-mel atau pesanan teks yang memberitahu mereka bahawa bungkusan mereka sedang menunggu waktu penghantaran atau bahawa mereka mempunyai bil tertunggak.
Mereka akan klik pada pautan URL dalam pesanan untuk mengetahui lebih lanjut tentang penghantaran bungkusan mereka.
Selepas klik pada pautan, mereka akan dibawa ke laman web penipuan yang meminta butiran kad kredit atau debit mereka dan kata laluan sekali sahaja (OTP).
Mereka akan menyedari bahawa mereka telah ditipu hanya selepas mendapati transaksi tanpa kebenaran yang dibuat pada kad kredit atau debit mereka.
Polis menasihati orang ramai supaya tidak klik pada pautan URL dalam e-mel atau pesanan teks yang tidak diminta.
Orang ramai harus sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat dengan laman web atau sumber rasmi, walaupun mereka menjangkakan bungkusan akan dihantar, dan menyemak butiran transaksi sebelum meluluskan transaksi itu, kata polis.
Selain itu, orang ramai tidak boleh mendedahkan butiran peribadi atau perbankan Internet dan OTP kepada sesiapa.
Akhir sekali, orang ramai harus melaporkan sebarang penipuan bayaran kredit atau debit kepada bank mereka dan membatalkan kad itu serta-merta, tambah polis.
The Straits Times melaporkan pada 29 Ogos bahawa $346.5 juta telah hilang ekoran kes penipuan pada separuh pertama tahun ini.
Ini adalah lebih separuh daripada $633.3 juta yang hilang sepanjang 2021.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai jenayah tersebut boleh menghubungi talian hotline polis di 1800-255-0000 atau melaporkannya dalam talian di https://str.sg/wCCM
Semua maklumat akan dirahsiakan sama sekali.
Untuk maklumat lanjut tentang penipuan, orang ramai boleh melayari laman beralamat https://str.sg/wCCQ atau menghubungi Talian Anti-Penipuan di 1800-722-6688.
Mereka juga boleh mendaftar sebagai pejuang antipenipuan di https://str.sg/wCCA untuk menerima pesanan tentang penipuan dan isyarat terbaru yang perlu diberi perhatian, dan berkongsinya dengan keluarga dan rakan.