Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekurang-kurangnya 29 penerbangan antara S’pura-Korea S terjejas akibat ribut salji

Nov 28, 2024 | 6:38 PM
Lapangan terbang utama Seoul, Incheon, paling teruk terjejas  akibat keadaan cuaca, dengan penumpang dikatakan terpaksa menunggu purata dua jam dari masa yang dijadualkan.
Lapangan terbang utama Seoul, Incheon, paling teruk terjejas akibat keadaan cuaca, dengan penumpang dikatakan terpaksa menunggu purata dua jam dari masa yang dijadualkan. - Foto AFP

Sekurang-kurangnya 29 penerbangan antara Singapura dengan Korea Selatan telah ditunda atau dibatalkan sejak 27 November, selepas negara itu dilanda salji paling lebat dalam tempoh setengah abad.

Tiga daripada 29 penerbangan tersebut dibatalkan.

Sebagai jawapan kepada pertanyaan The Straits Times (ST), Singapore Airlines (SIA) memaklumkan bahawa lima penerbangannya telah tertunda antara satu dengan sembilan jam.

Penerbangan yang terjejas termasuk SQ601, SQ605, SQ607, dan SQ611 yang berlepas dari Seoul ke Singapura pada 27 November, serta SQ607 pada 28 November.

Jurucakap syarikat penerbangan Scoot pula memaklumkan bahawa ia masih mengendalikan penerbangan berjadual antara Singapura dengan Korea Selatan.

“Dalam kami memantau keadaan cuaca (di Korea Selatan), kami mungkin membuat penyesuaian kepada jadual penerbangan dengan mempertimbangkan cuaca di Incheon.

“Kami akan terus memantau situasi di Korea Selatan dengan teliti dan membuat perubahan pada jadual penerbangan jika perlu,” jelas syarikat itu.

Lapangan terbang utama Seoul, Incheon, paling teruk terjejas akibat keadaan cuaca di sana. 

Penumpang dikatakan terpaksa menunggu purata dua jam dari masa yang dijadualkan, sementara 14 peratus penerbangan tertunda dan 15 peratus dibatalkan pada 28 November, menurut laman penjejakan penerbangan, Flightradar24.

Pentadbiran Meteorologi Korea melaporkan bahawa salji setebal 16.5 sentimeter (cm) telah turun sehingga 7 pagi waktu tempatan – melebihi rekod tertinggi sebelumnya di Seoul, iaitu 12.4cm pada 28 November 1972.

Salji melebihi 40cm yang dilaporkan terkumpul di beberapa kawasan di Seoul menjelang 8 pagi pada 28 November, telah menyebabkan lebih 200 penerbangan ditunda atau dibatalkan.

Sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan maut akibat cuaca musim sejuk yang melampau, manakala 11 lagi cedera dalam kejadian yang melibatkan pertembungan 53 kenderaan di lebuh raya wilayah Gangwon pada 27 November.

Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, menggesa para pegawai supaya “mengehadkan kerosakan dan kesulitan awam akibat salji tebal,” kerana salji lebat dijangka akan berterusan sehingga pagi 28 November.

ST telah menghubungi Korean Air untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Agensi pelancongan Singapura, EU Holidays, berkata seramai 33 pelanggan terjejas akibat salji lebat pada 28 November.

Satu kumpulan seramai 12 pelancong terlepas penerbangan sambungan mereka ke Pulau Jeju selepas penerbangan Asiana Airlines dari Singapura ke Seoul tertunda dari 1.55 pagi hingga 9.50 pagi pada 28 November.

Ini menjejaskan jadual penerbangan domestik mereka ke Pulau Jeju serta penginapan hotel mereka.

Agensi pelancongan Nam Ho Travel Service pula menyatakan bahawa lawatan kumpulan mereka di Korea Selatan berjalan lancar dan tiada kumpulan pelancong terjejas akibat cuaca itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg