Singapura melarang sekurang-kurangnya empat individu yang cuba memasuki Singapura sebelum berlangsungnya sidang puncak antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Semasa bertemu media hari ini, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam berkata bahawa seorang lelaki dari salah satu negara Asean tidak dibenarkan masuk ke Singapura semalam selepas pegawai Penguasa Pusat Imigresen dan Pemeriksaan melihat beliau bersikap gelisah.

"Beliau tidak dapat menjawab pertanyaan mereka (pegawai ICA). Apabila mereka memeriksa telefon bimbitnya, mereka melihat bahawa beliau telah mengunjungi laman mengenai pengebom nekad. Lantas para pegawai membuat keputusan untuk tidak membenarkan beliau masuk," katanya.

Encik Shanmugam berkata selain kes yang dilaporkan Rabu lalu di mana warga Australia Zeky Mallah, 34 tahun, dilarang masuk kerana terlibat dalam aktiviti berkaitan pengganas, dan juga kes semalam, dua lagi kes telah diuruskan.

Namun, beliau enggan menerangkan tentang kes-kes itu.