Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selamat pindah

Kira-kira 2,300 daripada 3,500 burung telah dipindahkan dari Taman Burung Jurong ke taman baru mereka, Bird Paradise di Mandai. Usaha itu dijalankan dengan teliti kerana Mandai Wildlife Group tidak mahu seekor pun cedera, walaupun ia adalah mustahil.
Apr 8, 2023 | 5:30 AM
ELAK STRES DI TAMAN BARU: Seorang penjaga membantu menyesuaikan burung hering di Amfiteater Langit baru di Bird Paradise. - Foto-foto ST
ELAK STRES DI TAMAN BARU: Seorang penjaga membantu menyesuaikan burung hering di Amfiteater Langit baru di Bird Paradise. - Foto-foto ST -

SEKITAR dua pertiga daripada 3,500 burung di Taman Burung Jurong telah pindah dari taman lama itu ke rumah baru mereka, Bird Paradise, di Mandai.

Burung yang masih di taman lama itu akan dipindahkan dalam minggu-minggu mendatang, menjelang pembukaan Bird Paradise pada 8 Mei, kata Mandai Wildlife Group.

Menurut naib presiden penjagaan haiwan di Mandai Wildlife Group, Dr Luis Neves, burung-burung itu mula dipindahkan pada 4 Januari, sehari selepas Taman Burung Jurong menyambut pengunjung terakhirnya.

Beliau memberitahu The Straits Times jadual pemindahan haiwan itu berdasarkan dua faktor - kesediaan aviari burung bar untuk menerima penghuninya dan kawasan yang perlu dikosongkan di Jurong terlebih dahulu untuk meletak sebahagian burung dari aviari lebih besar untuk penjaga mengikat mereka bagi memudahkan pemindahan.

Sebagai contoh, dua burung jenjang mahkota hitam yang sebelum ini berada dalam Aviari Air Terjun di Jurong dibawa ke kandang di taman lama itu dan penjaga mengambilnya dari situ apabila burung itu dipindahkan pada Februari.

Sebelum pemindahan itu, penjaga Taman Burung Jurong juga mula mencampurkan spesies burung yang berbeza yang akan tinggal bersama di Mandai.

Ini bagi "memastikan haiwan yang kami fikir serasi hidup bersama memang serasi", kata Dr Neves, sambil menambah bahawa ini membantu menghilangkan stres yang berpotensi berlaku apabila burung-burung itu dilepaskan di Mandai.

Bagi mengurangkan stres kepada kededuanya, burung dan penjaga, dalam proses pemindahan itu, sebahagian burung dilatih memasuki peti haiwan atau tempat sementara untuk dipindahkan.

Namun, ada spesies burung tertentu perlu ditangkap menggunakan jaring yang dibuka sebelum dimasukkan ke alam peti haiwan.

"Ini mengurangkan risiko burung itu mencederakan diri mereka dan membuat pemindahan lebih licin dan selamat," kata Dr Neves lagi.

Beliau menekankan jumlah burung yang memerlukan rawatan perubatan semasa proses pemndahan itu tidak berbeza daripada semasa operasi serupa biasa.

"Kami sentiasa menyasarkan kesejahteraan maksimum dan tiada kecederaan langsung. Tentu sekali ini tidak mungkin kerana ini adalah populasi yang sangat besar, malah antara mereka pun kadang-kadang mereka bergaduh," kata beliau.

Mandai Wildlife Group berkata beberapa spesies burung akan diperkenalkan dahulu di taman baru itu. Antaranya burung jenis goldie's lorikeet, spesies burung kakaktua berwarna-warni dan bera-sal dari New Guinea dan European bee-eater, yang dikenali dengan kebolehannya memburu lebah.

Ia juga mendedahkan Bird Paradise akan menyertai lebih 75 program pembiakan eksitu (luar kawasan asal), iaitu inisiatif di mana spesies terancam dikeluarkan dari habitat semula jadinya untuk dibiak dibawah penjagaan manusia bagi memastikan ia tidak pupus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg