Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selamat tinggal TKC... moga dapat kembali 2026 nanti: Penyewa

Jun 30, 2023 | 7:05 PM
TEMPAT ISTIMEWA: Encik Rachmat Suswantho Sinthar, pemilik Sufia’s Gallery yang terletak di Tanjong Katong Complex, berasa sedih untuk meninggalkan pusat beli-belah ikonik itu yang beroperasi buat kali terakhir pada 30 Jun sebelum menjalani kerja naik taraf hingga Julai 2026.
TEMPAT ISTIMEWA: Encik Rachmat Suswantho Sinthar, pemilik Sufia’s Gallery yang terletak di Tanjong Katong Complex, berasa sedih untuk meninggalkan pusat beli-belah ikonik itu yang beroperasi buat kali terakhir pada 30 Jun sebelum menjalani kerja naik taraf hingga Julai 2026. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Berat hati untuk meninggalkan tempat yang menyaksikan jatuh bangun mereka dalam dunia perniagaan, namun para penyewa kedai di Tanjong Katong Complex (TKC), yang kebanyakannya ibaratkan tempat itu sebagai rumah kedua mereka, reda dan bersedia untuk memulakan langkah di premis baru.

Pusat beli-belah ikonik yang terletak di Geylang Road itu akan menutup pintunya selama tiga tahun bagi kerja naik taraf yang akan bermula dari Ogos 2023 dan dijangka berakhir menjelang Julai 2026.

Sejak pengumuman tersebut dibuat, kebanyakan penyewa kedai telah melanjutkan sewa enam bulan sehingga 30 Jun 2023, yang juga merupakan hari terakhir pusat-beli–belah itu beroperasi.

Ketika Berita Harian (BH) mengunjungi pusat beli-belah itu pada 30 Jun, beberapa penyewa kedai dilihat mengemas barang dan membersihkan kedai mereka.

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Rachmat Suswantho Sinthar, pemilik Sufia’s Gallery, sebuah kedai menjual karya seni dan kaligrafi Melayu.

Bak kata peribahasa ‘tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain’, kata Encik Rachmat yang berasa sedih untuk meninggalkan ‘tempat permainan’ beliau.

“Inilah tempat permainan saya. Saya melukis kaligrafi di sini, saya buat ramai kawan di sini, ada banyak lagi kenangan istimewa tercipta di kedai ini.

“Saya sudah berniaga di sini sejak 1993, jadi tipulah kalau saya tidak berasa terharu dan sedih. Ia ibarat rumah kedua saya.

“Tetapi kita harus terus memandang ke hadapan. Saya menantikan permulaan baru dan tidak sabar untuk meniaga di tempat baru,” katanya sambil mengemas karya seninya ke dalam kotak untuk dipindahkan ke kedai sementara di City Plaza.

Sementara itu, Encik Abdul Nagib Abdul Aziz, pemilik kedai An-Nahl, sedang membersihkan kedainya sebelum ia ditutup. Kedai itu menjual pakaian dan aksesori dan telah dibuka sejak 2005.

Mengulas tentang penutupan TKC, beliau berkata: “Sudah tentu saya rasa sedih. Saya sudah biasa dengan suasana di sini dan sering menerima pelanggan yang ingin membuat tempahan baju.

“Tapi apa nak buat? Kerja naik taraf adalah untuk kebaikan pusat beli-belah ini dan mudah-mudahan saya harap kita semua (penyewa kedai) dijemput balik ke sini pada masa depan.

“Sekarang, saya hanya mahu menumpukan perhatian kepada kedai baru di City Plaza dan mengharapkan yang terbaik.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg