Niaga dari rumah demi luang masa dengan anak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Niaga dari rumah demi luang masa dengan anak

Barah akhiri kerjaya di SAF, tapi bekas kapten rebut peluang bina semula hidup di sisi keluarga
Jun 18, 2022 | 5:30 AM

Niaga dari rumah demi luang masa dengan anak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
AJAR ANAK ERTI CEKAL: Mantan pegawai tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan bekas pesakit barah, Encik Fuad Rahim, berharap usaha niaga roti dan pastri yang dibangunkannya akan menjadi ruang untuknya mengajar anaknya erti cekal, kerja keras dan tidak putus asa mencuba. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
AJAR ANAK ERTI CEKAL: Mantan pegawai tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan bekas pesakit barah, Encik Fuad Rahim, berharap usaha niaga roti dan pastri yang dibangunkannya akan menjadi ruang untuknya mengajar anaknya erti cekal, kerja keras dan tidak putus asa mencuba. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

Masa bermutu buat anak amat dititikberatkan dua bapa muda ini sehinggakan yang seorang membuat pertukaran kerjaya manakala yang seorang lagi memilih bidang yang membolehkan lebih banyak masa diluangkan buat si kecil. Sempena Hari Bapa esok, BERITA HARIAN melaporkan kisah pengorbanan dua ayah era baru dengan bidang kerja yang tidak pernah mereka bayangkan sebelum ini.

LIMA tahun lalu, Encik Fuad Rahim bertarung dengan penyakit barah sel germa yang jarang berlaku.

Ia mendesak beliau berhenti daripada tugas selama tujuh tahun sebagai pegawai tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Sel germa biasanya melibatkan bahagian pensenyawaan individu.

Apabila diberitahu doktor beliau hanya mempunyai 5 peratus peluang untuk hidup dengan hayatnya diramalkan hanya bertahan enam bulan, Encik Fuad, kini 33 tahun, cekalkan semangat dan bertekad enggan mensia-siakan masanya jika diberi kesempatan untuk pulih.

Beliau payah mendapatkan pekerjaan buat satu tempoh yang membimbangkan ketika itu tetapi bersyukur diterima sebagai pegawai siasatan syarikat logistik dan khidmat kiriman Ninja Van pada April 2020.

Encik Fuad merupakan pegawai siasatan pertama yang digajikan Ninja Van untuk mengenal pasti dan menentang jenayah penipuan kiriman barangan dan e-dagang yang kian berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Namun, di benaknya, bapa seorang anak perempuan berusia setahun lima bulan itu ingin meneroka perniagaan makanan yang berpangkalan dari rumah sebagaimana yang dilakukan ibu dan neneknya dahulu.

Baginya, itu juga satu cara untuknya mempunyai waktu fleksibel yang boleh dimanfaatkan bagi meluangkan masa dengan isteri dan anaknya.

Encik Fuad yang belajar sendiri cara menyiapkan roti dan pastri menerusi resipi dalam talian atau YouTube sudah mula bereksperimen dengan sajian kroisan pelbagai inti selama dua tahun malahan sejak bertugas di Ninja Van.

Pada Disember tahun lalu, beliau mengambil keputusan besar untuk berhenti kerja dan fokus pada perniagaan dari rumah dengan menggunakan jenama Captain Roti Bakehouse.

Nama itu diberi isterinya yang hanya ingin dikenali sebagai, Cik Ferra, 27 tahun, seorang pakar teknologi pesawat di Rolls-Royce, memandangkan beliau adalah mantan kapten di SAF yang kini meniaga roti.

Captain Roti, antara lain, menjual kroisan dengan inti sambal ikan bilis, rendang daging, kacang hazel dan telur asin serta kouign-amann.

Selain menjadi pendorong untuknya mencari rezeki, perniagaan itu juga motivasi buat pesakit barah lain agar tidak mudah berputus harap.

Ketika dihubungi Berita Harian menerusi Zoom, Encik Fuad berkata:

"Sebagai seorang ayah, saya selalu memikirkan bagaimana saya dapat menampung kehidupan keluarga tetapi masih tetap dapat meluang masa bermutu dengan anak saya.

"Saya enggan terlepas menyaksikan sendiri detik penting anak saya membesar jika terlalu sibuk membina kerjaya.

"Seberapa boleh, saya akan luangkan masa ambil isteri dari tempat bertugas dan anak dari tajaka untuk kami keluar makan bersama.

"Isteri saya bertugas syif dan merupakan insan yang telah banyak memberi saya semangat positif ketika saya sakit dan sewaktu kami belum bernikah lagi, selain ibu bapa saya.

"Penyakit yang melanda tiba-tiba dan meragut kehidupan dan kerjaya saya yang pada ketika itu sedang berkembang di SAF membuatkan saya banyak bermuhasabah diri dan memperkukuh unsur kerohanian, emosi dan minda saya."

Semangat cekal, rajin mencuba dan bersedia berkorban demi masa depan lebih baik merupakan antara nilai yang ingin Encik Fuad lihat diwarisi anaknya.

"Saya harap anak saya dapat membesar dengan melihat bagaimana ayahnya membangun perniagaan Captain Roti yang memerlukan pengorbanan waktu tidur dan masa peribadi.

"Saya masih berjaga pada 2 atau 3 pagi untuk menyiapkan pelbagai bahan untuk membakar roti dan pastri. Masa tidur saya adalah antara 9.30 pagi hingga 2.30 petang.

"Awalnya, saya terasa macam nak nangis apabila roti dan pastri yang disiapkan tidak 'menjadi'.

"Tetapi kesusahan itu membuatkan saya teringat perjuangan getir menentang penyakit barah, tiada selera makan dan kerap muntah dek kesan sampingan rawatan.

"Kalau tempoh seberat itu sudah dapat diharungi, mengapa perkara sekecil roti dan pastri 'terbantut' harus menjejas semangat saya?

"Sepenat manapun, saya gembira mendapat maklum balas roti dan pastri saya sedap sehingga pelanggan berulang tempah lagi," katanya.

BAPA MISALI

"Sebagai seorang ayah, saya selalu memikirkan bagaimana saya dapat menampung kehidupan keluarga tetapi masih tetap dapat meluang masa bermutu dengan anak saya. Saya enggan terlepas menyaksikan sendiri detik penting anak saya membesar jika terlalu sibuk membina kerjaya."

SELAKU USAHAWAN

"Awalnya, saya terasa macam nak nangis apabila roti dan pastri yang disiapkan tidak 'menjadi'. Tetapi kesusahan itu membuatkan saya teringat perjuangan getir menentang penyakit barah, tiada selera makan dan kerap muntah dek kesan sampingan rawatan. Kalau tempoh seberat itu sudah dapat diharungi, mengapa perkara sekecil roti dan pastri 'terbantut' harus menjejas semangat saya?" - Encik Fuad Rahim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg