Generasi muda mungkin kerap dilabel antaranya sebagai generasi strawberi, tidak kenal erti kesusahan, terlalu asyik dengan media sosial dan sebagainya. Tetapi, ia tidak mencerminkan seluruh golongan itu dengan tepat. Malah, terdapat belia di luar sana yang berjiwa masyarakat, memaparkan daya tahan dan rajin menghulur tangan bagi membantu golongan yang dihimpit kesusahan. BERITA HARIAN menyorot beberapa kisah anak muda yang membangunkan inisiatif sendiri dalam usaha menyumbang kepada kebaikan masyarakat setempat mahupun luar negara
SUDAH menjadi kebiasaan bagi Encik Zulfeqar Zulkifli, 24 tahun, melihat penduduk di sekitar kediamannya meminta pertolongan ayahnya bagi pelbagai isu, lagi-lagi sewaktu pandemik ini.
Isu-isu yang timbul termasuk bantuan untuk memahami surat pemerintah memandangkan ada yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris serta bantuan untuk memohon subsidi kerana ada yang kurang mahir dalam teknologi.
Ayahnya, Encik Zulkifli Atnawi, 60 tahun, yang sudah bersara akan bertungkus lumus membantu jiran-jirannya.
Itulah yang mendorong Encik Zulfeqar dan tiga adik-beradiknya - Encik Zulhaqem Zulkifli, 28 tahun, Cik Zulayqha Zulkifli, 26 tahun, dan Cik Zulastri Zulkifli, 25 tahun - untuk menubuhkan inisiatif Project Hills, April lalu.
Mereka turut dibantu rakan mereka, Encik Abdullah Ahmad, 26 tahun, yang merupakan pengasas bersama inisitiatif tersebut.
Encik Zulfeqar yang sebelum ini pernah tidak punya tempat berteduh sehingga memaksa beliau sekeluarga tidur di kolong blok, kini menetap di flat sewa dua bilik di Queenstown.
"Apa yang terus mendorong kami adalah kami tahu apa rasanya untuk tidak mempunyai apa-apa.
"Kami kini dalam keadaan di mana kami bersyukur dengan apa yang kami ada.
"Ia mungkin bukan yang terbaik, tetapi kami bersyukur dan jika dibandingkan keadaan kami dan penduduk di sini, kebanyakan mereka dalam keadaan yang lebih teruk," katanya.
Menurut Encik Zulfeqar, pandemik Covid-19 ini telah menjejas kehidupan ramai jirannya yang sedang bergelut dengan keadaan yang sukar dan mencabar seperti masalah kewangan.
Project Hills, katanya memberi tumpuan terutamanya kepada mereka yang kurang bernasib baik dan penduduk yang tinggal di estet perumahan sewa.
Selain pengagihan makanan, mereka juga mempunyai kumpulan relawan yang menangani kes secara individu dan menulis laporan sosial bagi kes tersebut.
Kini, ia dianggotai 42 relawan yang terdiri kebanyakannya daripada mahasiswa dan golongan anak muda.
Seminggu sekali, mereka akan mengetuk dari pintu-ke-pintu untuk mendekati penduduk yang memerlukan.
Antara yang mereka lakukan adalah mengagihkan barang keperluan terutamanya bagi warga emas yang tidak digalakkan keluar sewaktu pandemik ini, menambahkan token kredit prabayar yang digunakan penduduk untuk mendapatkan elektrik, serta menawarkan bantuan seperti mendapatkan komputer riba bagi pembelajaran di rumah bagi keluarga memerlukan.
Encik Zulfeqar yang bekerja sebagai cef pastri berkata oleh kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai komitmen belajar dan bekerja, mereka akan lakukan kerja kemasyarakatan setelah waktu kerja dan pada hujung minggu.
"Pendekatan juga penting kerana ia membolehkan kami mengumpulkan data dan mendedahkan relawan kami supaya mereka dapat merenung, menyelami dan memahami perasaan atau emosi para penduduk," katanya.
Kumpulan itu turut mendekati penduduk rumah sewa di kejiranan lain seperti Lengkok Bahru dan Spooner Rd.
Sejauh ini, Project Hills meningkatkan kesedaran tentang golongan memerlukan menerusi media sosial, dan dana mereka kebanyakannya diraih menerusi sumbangan orang ramai serta kerjasama dengan perniagaan atau rakan masyarakat.
"Ia penting bagi belia untuk sumbang kembali kepada masyarakat.
"Ia juga satu peringatan bagi kita untuk tidak mengambil perkara secara sambil lewa, justeru ia membolehkan kita untuk merenung tentangnya.
"Membuat kerja sukarela juga memainkan peranan penting kerana ia meningkatkan kesedaran sosial kita secara am," tambahnya.
"Apa yang terus mendorong kami adalah kami tahu apa rasanya untuk tidak mempunyai apa-apa. Kami kini dalam keadaan di mana kami bersyukur dengan apa yang kami ada. Ia mungkin bukan yang terbaik, tetapi kami bersyukur dan jika dibandingkan keadaan kami dan penduduk di sini, kebanyakan mereka dalam keadaan yang lebih teruk." - Encik Zulfeqar Zulkifli, 24 tahun, yang pernah tiada tempat berteduh, dan merupakan pengasas bersama Project Hills.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg