Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat niaga si cilik, jiwa dermawan

Anak pasangan Norfasarie dan Baihakki yang kini punya ruang kedai jual aksesori akan derma sebahagian hasil penjualan
Oct 7, 2022 | 5:30 AM
MAHU CUBA BERNIAGA: Moza menunjukkan sebahagian aksesori yang dijual di kedainya, Myla Moza di Far East Plaza. - Foto MUHAMMAD HASIF AZMI
MAHU CUBA BERNIAGA: Moza menunjukkan sebahagian aksesori yang dijual di kedainya, Myla Moza di Far East Plaza. - Foto MUHAMMAD HASIF AZMI -

USIANYA baru 11 tahun tetapi Moza Alyka Baihakki sudah ada semangat keusahawanan.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Mungkin kerana sering terdedah dengan kerja keras ibunya, selebriti tempatan Norfasarie Yahya yang telah menceburi bisnes berkaitan kecantikan sejak lebih sedekad lalu, pengaruh untuk berniaga juga meresap ke diri si cilik istimewa ini.

Keinginan Moza, anak kedua empat beradik, untuk menjadi usahawan cilik direalisasikan ibunya apabila kedainya yang menjual aksesori, Myla Moza dilancarkan baru-baru ini.

Kedai tersebut terletak di tingkat lima Far East Plaza, Scotts Road, mengisi bahagian depan ruang Moza Aesthetics s yang diuruskan Norfasarie di situ sejak dua tahun lalu.

Dalam majlis pelancaran kedai tersebut, Moza, pelajar Sekolah Rendah St. Margaret's begitu yakin menjawab pertanyaan tetamu mengenai idea di sebalik bisnes tersebut.

"Saya tonton satu klip video di TikTok mengenai seorang budak perempuan yang menjual scrunchies atau getah pengikat rambut secara dalam talian dan mendapat sambutan hebat sehingga dia mampu membelikan ibunya sebuah rumah.

"Ini memberi saya motivasi dan saya juga mahu menggembirakan ibu bapa saya," kata Moza begitu petah dalam bahasa Inggeris.

Bukan setakat mahu berniaga, Moza juga ada sifat dermawan.

"Selain itu, saya mahu memberi kembali kepada masyarakat yang sokong saya selama ini... saya akan dermakan sebahagian hasil keuntungan penjualan aksesori saya kepada Enabling Villlage kerana ia banyak menyokong kanak-kanak berkeperluan khas seperti saya," kata Moza penuh yakin, merujuk keadaan lengan kanannya yang terbentuk setakat di bahagian siku sejak lahir.

Norfasarie memberitahu Berita Harian, beliau terkejut apabila anaknya melahirkan hasrat untuk cuba berniaga dan bertanya sama ada beliau boleh membantu.

"Saya tanya balik... Moza serius ke? Berniaga tak boleh main-main sebab mummy kena keluarkan modal. Lagi pun tahun depan dia akan duduki PSLE... tentu perlu fokus pada pelajaran. Tetapi dia bersungguh-sungguh dan berkata dia mahu mencuba," kongsi isteri bintang bola sepak Baihakki Khaizan itu.

Sebagai percubaan, sang ibu menggalakkan anaknya berniaga secara kecil-kecilan dahulu.

"Saya minta Moza lihat dulu sambutannya kalau berniaga secara kecil-kecilan. Semasa bulan puasa lalu, kami dapat menjual set empat hingga lima scrunchie, sikat dan tempat menyimpan getah-getah itu dalam kotak yang bernilai $78. Alhamdulillah kami dapat menjual sekitar 100 kotak," kongsi si ibu.

Idea untuk membawa perniagaan itu ke ruang fizikal timbul apabila Norfasarie mendapati ruang depan di pusat penjagaan kecantikannya Moza Aesthetics kurang dimanfaatkan.

"Saya fikir, daripada membiarkan ruang ini tak berfungsi, baik digunakan untuk mempamerkan scrunchies yang dijual.

"Sebagai ibu, saya boleh menguruskan kedai ini, tetapi Moza sendiri mahu memikul tanggungjawab. Dia mahu ada suara dalam bisnesnya... dia sendiri yang mencipta logo bisnes, memberi idea cara barangan disusun dan dipamerkan serta pilihan aksesori yang dijual yang kebanyakannya sesuai untuk kanak-kanak. Dia mengambil contoh perhiasan dan konsep kedai-kedai aksesori lain yang disukainya.

"Moza sememangnya faham apa yang dijual. Dia sendiri yang katakan... mummy jangan risau kalau barang lambat jual sebab scrunchies tidak ada 'shelf life' atau tarikh luput... terkejut saya sebab saya sendiri tak terfikir tentang konsep 'shelf life' semasa mula berniaga," akuinya.

Dengan modal ubah elok sekitar $15,000 kedai aksesori itu kini turut mempamerkan aksesori seperti anting-anting, subang, dan kerongsang,"

"Memandangkan kami menjual anting-anting untuk kanak-kanak, Moza Aesthetics turut menawarkan khidmat menindik yang dilakukan petugas pakar kami," tambah beliau.

Norfasarie berkata beliau akan membimbing anaknya secara perlahan-lahan dan akan mendedahkannya kepada reka seni aksesori juga.

Beliau yang mempunyai dua anak lelaki dan dua anak perempuan (berusia antara 13 tahun dengan setahun empat bulan) menambah:

"Untuk anak-anak perempuan, saya akan dedahkan mereka kepada dunia perniagaan kerana mahu mereka hidup berdikari bila dewasa nanti. Tetapi terpulang kepada mereka untuk teruskan kerjaya atau bisnes setelah masing-masing bertambah matang.

"Untuk anak-anak lelaki, saya serahkan kepada bapa mereka... nampaknya dua-dua dah tunjuk minat di padang bola... tak boleh lari," selorohnya. Bahkan anak sulung, Mika Bazil sudah pun menyertai Akademi Bola Sepak Sekolah (SFA).

"Saya tonton satu klip video di TikTok mengenai seorang budak perempuan yang menjual scrunchies atau getah pengikat rambut secara dalam talian dan mendapat sambutan hebat sehingga dia mampu membelikan ibunya sebuah rumah. Ini memberi saya motivasi dan saya juga mahu menggembirakan ibu bapa saya." - Moza Alyka Baihakki.

"Saya tanya balik... Moza serius ke? Berniaga tak boleh main-main sebab mummy kena keluarkan modal. Lagi pun tahun depan dia akan duduki PSLE... tentu perlu fokus pada pelajaran. Tetapi dia bersungguh-sungguh dan berkata dia mahu mencuba. - Ibu Moza, selebriti tempatan Norfasarie Yahya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg