Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Semburan’ kemoterapi beri harapan kepada pesakit barah gastrik

Kaedah baru dapat hentikan sel barah gastrik daripada merebak
Sep 11, 2024 | 1:54 PM
Profesor Jimmy So, Perunding Kanan dan Ketua Bahagian Pembedahan Umum, bergambar dengan peralatan yang digunakan untuk Kemoterapi Aerosol Intraperitoneal Bertekanan (PIPAC) di Pusat Latihan Pembedahan Lanjutan di Universiti Nasional Singapura pada 10 September.
Profesor Jimmy So, Perunding Kanan dan Ketua Bahagian Pembedahan Umum, bergambar dengan peralatan yang digunakan untuk Kemoterapi Aerosol Intraperitoneal Bertekanan (PIPAC) di Pusat Latihan Pembedahan Lanjutan di Universiti Nasional Singapura pada 10 September. - Foto ST

Kajian terkini menunjukkan penggunaan “semburan” baru untuk memberi ubat kemoterapi di luar membran yang meliputi rongga perut dapat menghentikan sel-sel barah gastrik daripada merebak.

Terapi itu juga memberi harapan kepada pesakit barah gastrik untuk terus hidup, terutama jika barah telah merebak ke membran pelindung atau peritoneum.

Percubaan yang melibatkan 18 pesakit itu berlangsung di Singapura dan Belgium dari Jun 2020 hingga November 2022.

Ia dijalankan serentak dengan penyelidikan baru untuk mengetahui bagaimana persekitaran di sekeliling barah utama memainkan peranan penting dalam penyebarannya ke membran.

Kedua-dua kajian itu menunjukkan langkah besar untuk memerangi metastasis peritoneal barah gastrik.

Metastasis merujuk kepada penyebaran barah ke bahagian lain dari tumor asal.

Barah gastrik adalah barah kelima yang biasa dihidapi dan penyebab ketiga kematian berkaitan barah di seluruh dunia. Ia menyebabkan hampir 770,000 kematian dan lebih sejuta kes baru setahun.

Di Singapura, barah gastrik adalah antara 10 punca utama kematian berkaitan barah dan meragut sekitar 300 nyawa setiap tahun.

Diterajui oleh pasukan dari Hospital Universiti Nasional (NUH), ​Institut Barah Universiti Nasional Singapura (NCIS), Sekolah Perubatan NUS Yong Loo Lin, Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) dan Sekolah Perubatan Duke-NUS, kajian itu menggunakan teknologi canggih bagi menganalisis koleksi sampel pesakit.

Dr Raghav Sundar, yang mengetuai kajian itu, berkata:

“Kami mengambil tumor dari perut dan tumor yang merebak melalui peritoneum, (dan) kami cuba memahami mengapa tumor tertentu dari perut merebak ke peritoneum…

“Kami juga mengkaji apa yang berlaku kepada tumor itu apabila kemoterapi digunakan atau sesuatu dimasukkan ke dalam peritoneum, dan sama ada ia berubah dari masa ke masa.”

Penyelidikan menunjukkan perubahan dalam persekitaran mikro tumor (TME) yang menyumbang kepada penyebaran barah gastrik ke peritoneum.

TME juga memainkan peranan penting dalam membantu mengenal pasti biomarker dan sasaran terapeutik.

Profesor Patrick Tan, naib dekan kanan penyelidikan di Duke-NUS, berkata sebelum kajian ini, terdapat pemahaman terhad bagaimana TME menyumbang kepada penyebaran barah gastrik ke peritoneum.

“Hasil penyelidikan kami menunjukkan kerumitan metastasis barah gastrik, mendedahkan bahawa tumor gastrik boleh menggunakan pelbagai mekanisme untuk merebak ke organ yang berbeza.”

Profesor Jimmy So, ketua bahagian pembedahan umum di NUH, berkata rawatan itu telah diberikan dengan selamat kepada 16 pesakit.

Namun, dua pesakit mengalami komplikasi teruk.

Profesor Madya Johnny Ong, dari bahagian pembedahan dan onkologi pembedahan di NCCS, berkata: “Menggabungkan kedua-dua penyelidikan, kami dapat memberi penerangan baru tentang biologi barah gastrik, yang akan membuka jalan bagi terapeutik pada pesakit dengan metastasis peritoneal.”

Hasilnya akan diterbitkan dalam ESMO Open, jurnal onkologi semakan dalam talian bagi Persatuan Onkologi Perubatan Eropah, pada September.

Kini, pasukan itu berusaha mengumpul dana di Singapura dan luar negara untuk merekrut lebih ramai pesakit di seluruh dunia bagi fasa kedua ujian klinikal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg