MUSIM cuti sekolah Jun lazimnya waktu sibuk bagi umat Islam menunaikan umrah bersama keluarga mereka.
Namun tahun ini, agensi-agensi telah berhenti menawarkan pakej umrah untuk bulan Jun bagi membuat persiapan bagi musim haji yang bakal tiba.
Beberapa jemaah Singapura bagaimanapun berkesempatan memenuhi hasrat mereka melakukan ibadah umrah pada lewat Mei atau awal bulan ini sebelum masuknya musim haji.
Antara mereka ialah Cik Shafiqah Reduan, 28 tahun, yang pergi ke Tanah Suci bersama ibunya, Cik Salamah Rosman, 58 tahun; adik, Encik Ahmad Reduan, 23 tahun; dan ibu saudara, Cik Mariah Osman, 55 tahun.
Cik Shafiqah berkata keluarga beliau sepatutnya berangkat ke Arab Saudi untuk menjalankan umrah pada Mac 2020.
Namun, disebabkan pandemik Covid-19 yang menyebabkan Arab Saudi tidak membenarkan jemaah antarabangsa memasuki negara itu bagi menunaikan umrah dan haji, rancangan mereka terpaksa dibatalkan.
"Kami rasa kecewa apabila umrah dibatalkan, tetapi kami anggap ia satu dugaan dan Allah ada rancangan lebih baik untuk kami.
"Tetapi dalam hati, kami tetap niatkan, insya-Allah, kami akan dapat pergi. Mungkin bukan sekarang, tetapi kami berharap pada satu hari nanti," kata beliau, yang bekerja sebagai kakitangan khidmat pesakit di hospital.
"Oleh itu, kami bersyukur sangat (apabila dapat menunaikan umrah). Ibu saya sudah lama memang nak pergi umrah dan beliau selalu menonton video mengenai umrah di YouTube. Kami rasa bersyukur diundang menjadi tetamu di rumah Allah," tambah beliau.
Cik Shafiqah dan keluarganya telah berangkat ke Tanah Suci pada 29 Mei lalu dan kembali ke tanah air pada 8 Jun lalu.
Berkongsi pengalamannya, Cik Shafiqah berkata meskipun cuaca di sana sungguh panas - dengan suhu boleh mencapai sehingga 45 darjah Celsius - semua ibadah umrah dapat dijalankan dengan lancar.
Antara kenangan yang beliau tidak dapat lupakan ialah apabila kali pertama matanya menatap Kaabah di Masjidil Haram, dengan Cik Shafiqah berkata "menggigil badan" beliau.
Satu lagi kenangan adalah apabila adik beliau, Encik Ahmad, membimbing beliau, ibu dan ibu saudaranya melakukan tawaf sunat selepas solat subuh.
"Saya bagaikan tak percaya. Akhirnya, selepas dua tahun, Alhamdulillah, sampai juga saya di sini," kata beliau.
Cik Shafiqah berharap mereka yang masih menanti peluang menunaikan umrah atau haji akan terus dapat menunggu dengan sabar.
"Niatkan di hati, dan InsyaAllah, Allah akan permudahkan segala urusan.
"Mereka juga boleh tonton video YouTube oleh mutawif di Makkah untuk mengetahui lebih lanjut tentang keadaan di sana supaya mereka sekurang-kurangnya tahu apa yang boleh dijangkakan apabila akhirnya menjejakkan kaki ke Tanah Suci," kata beliau.
"Kami rasa kecewa apabila umrah dibatalkan, tetapi kami anggap ia satu dugaan dan Allah ada rancangan lebih baik untuk kami. Tetapi dalam hati, kami tetap niatkan, InsyaAllah, kami akan dapat pergi. Mungkin bukan sekarang, tetapi kami berharap pada satu hari nanti." - Cik Shafiqah Reduan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg