Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semua 22 kes baru Covid-19 dikesan menerusi pemeriksaan proaktif: MOH

Sep 7, 2020 | 11:21 PM
KERJA PEMBERSIHAN RAPI: Kelihatan beberapa pekerja pembersihan mengelap pintu di stesen MRT bagi memastikan kerja pembersihan dibuat secara kerap dan teliti. - Foto REUTERS
KERJA PEMBERSIHAN RAPI: Kelihatan beberapa pekerja pembersihan mengelap pintu di stesen MRT bagi memastikan kerja pembersihan dibuat secara kerap dan teliti. - Foto REUTERS -

KESEMUA 22 kes jangkitan baru Covid-19 yang dikenal pasti pada Isnin (7 September) tidak menampakkan sebarang tanda jangkitan dan dikesan menerusi proses pemeriksaan dan pemantauan proaktif.

Mendedahkan demikian dalam kenyataannya, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata tiga kes import melibatkan seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura, seorang pemegang permit kerja dan seorang pemegang pas tanggungan.

Warga PR itu pulang ke Singapura dari India manakala pemegang permit kerja yang bertugas di sini tiba di Singapura dari Filipina pada 26 Ogos lalu. Baki kes lain pula adalah pemegang pas tanggungan yang datang dari India juga pada 26 Ogos. Kesemuanya sudah diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sejurus tiba di Singapura. Mereka didapati positif Covid-19 sewaktu tempoh SHN yang dijalani di kemudahan khusus.

Satu-satunya kes masyarakat, jelas MOH, adalah yang melibatkan warga Bangladesh berusia 35 tahun, yang tiada kaitan dengan kes sebelum ini. Beliau dikesan hasil Ujian Rutin Yang Dijadualkan ke atas pekerja dalam sektor binaan, kelautan dan pemprosesan yang menetap di luar dormitori.

Dalam kalangan 18 kes di dormitori pula, sembilan dikenal pasti sebagai kontak kes sebelum ini dan telah pun dikuarantin ketika dikesan dengan koronavirus. Baki sembilan kes pula dikesan menerusi ujian pemantauan seperti Ujian Rutin Yang Dijadualkan buat penghuni dormitori secara dwimingguan.

Sebanyak 75 kes pula sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat manakala 51 kes pula masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya berada dalam keadaan mantap atau kian pulih.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg