KESEMUA 254 pengunjung kedai kamera SLR Revolution di Pusat Beli-Belah Excelsior didapati tiada jangkitan Covid-19 setelah ujian dan pemeriksaan dijalankan ke atas mereka.
Mendedahkan demikian dalam kenyataan pada Selasa malam (8 September), Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa hasil ujian mereka yang berkunjung antara 15 dengan18 Ogos lalu negatif dengan langkah memeriksa dan menguji mereka dibuat sebagai pencegahan menyusuli pengesanan tiga kes Covid-19 melibatkan pekerja dan pengunjung kedai itu.
Sebanyak 46 daripada 47 kes baru yang dikenal pasti sehingga 12 tengah hari Selasa (8 September) pula melibatkan penghuni dormitori pekerja asing.
Seramai 25 daripada mereka dikesan dalam tempoh kuarantin kerana berkait dengan kes sebelum ini. Baki 21 kes pula dikenal pasti dalam ujian pemantauan seperti Ujian Rutin Yang Dijadualkan secara dwimingguan buat pekerja dormitori.
Dalam pada itu, salah satu daripada kes jangkitan baru ini berkait dengan 13 kes sebelum ini lantas membentuk kelompok baru di S11 Dormitory @ Punggol (2 Seletar North Link).
Tiada kes masyarakat dikesan manakala satu kes import pula melibatkan warga Singapura yang kembali ke sini dari India pada 24 Ogos lalu.
Beliau telah diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 14 hari setibanya di Singapura. Jangkitan dikesan padanya ketika menjalani SHN di kemudahan khusus.
MOH menambah 53 kes sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat manakala 48 kes pula masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya dalam keadaan mantap atau kian pulih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg