Inisiatif untuk mengecat blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dengan cat pantul haba akan dilaksanakan di semua estet HDB menjelang 2030, selepas projek perintis di Tampines menunjukkan bahawa cat tersebut mampu kurangkan suhu persekitaran sehingga 2 darjah Celsius.
Skim ini akan ditawarkan kepada semua majlis bandaran dalam tempoh lima tahun akan datang, dan kos cat baru itu akan ditanggung pemerintah.
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How berkata pada 3 Februari bahawa pemerintah memperuntukkan tambahan $60 juta bagi menampung kos untuk memperluas inisiatif ini ke semua estet sedia ada.
Dalam satu kenyataan, HDB berkata blok perumahan awam juga akan dipasang dengan meter elektrik pintar mulai suku kedua 2025 bagi menjejak corak penggunaan tenaga dan prestasi kemudahan umum seperti lif, lampu dan pam air di setiap blok.
Ini adalah antara inisiatif baru di bawah Program Bandar Hijau HDB, yang diumumkan Encik Tan pada 3 Februari, lapor The Straits Times (ST).
Skim ini adalah rancangan 10 tahun yang dilancarkan pada 2020 untuk menjadikan kawasan HDB sedia ada lebih mampan dan selesa, menjelang 2030 melalui penyejukan, pengurangan penggunaan tenaga dan pengitaran semula air hujan.
Dalam lawatan media ke estet HDB di Woodlands Drive 71, di mana beberapa inisiatif Program Bandar Hijau telah dilaksanakan, Encik Tan berkata program ini telah mencapai kemajuan yang baik sejak dilancarkan pada 2020 dan HDB akan meningkatkan usaha untuk memperluas inisiatif tersebut ke seluruh estet HDB lain.
Penggunaan cat pantul haba yang bakal diperluaskan ke estet HDB lain menyusuli projek perintis dua tahun yang dilancarkan pada 2021 oleh HDB dan Majlis Bandaran Tampines yang menggunakan cat penyejuk pada permukaan sekitar 130 blok HDB di Tampines.
Selepas permukaan luaran dan laluan pejalan kaki kawasan itu dilapisi dengan cat penyejuk, suhu persekitaran kawasan itu dapat dikurangkan.
Penduduk turut melaporkan penggunaan elektrik yang lebih rendah kerana kurang tenaga dari alat penyaman udara diperlukan untuk menyejukkan rumah mereka, kata HDB.
Dalam pada itu, data daripada meter elektrik pintar baru akan membolehkan majlis bandaran membandingkan penggunaan tenaga di pelbagai blok HDB dan menjejak permintaan serta bekalan yang diperlukan penduduk di estet tersebut.
Data yang terkumpul juga akan membantu majlis bandaran mengoptimumkan kitaran penyelenggaraan kemudahan umum, serta mengesan sebarang kerosakan untuk mengehadkan masa ia tidak boleh digunakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg