Semua pegerai yang kembali bekerja di Pelabuhan Perikanan Jurong diuji negatif
Semua pegerai yang kembali bekerja di Pelabuhan Perikanan Jurong diuji negatif
KESEMUA pegerai yang telah kembali bekerja di Pelabuhan Perikanan Jurong (JFP) telah diuji negatif dan telah menjalani ujian swab Covid-19 selama tujuh hari.
Semua pengunjung juga telah diuji negatif sebelum dibenarkan masuk, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran (MSE), Cik Grace Fu.
Pasar borong di JFP itu merupakan kelompok Covid-19 terbesar dan aktif di Singapura dengan 1,072 kes hingga tengah hari kelmarin.
Wabak tersebut menyebabkan penularan virus itu ke 43 pasar dan pusat makanan di seluruh Singapura.
Cik Fu telah mengunjungi pelabuhan itu semalam bersama Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Desmond Tan.
"Penyewa di pelabuhan itu secara progresif mula membuka semula dan menyesuaikan diri dengan langkah pengurusan selamat yang dipertingkat demi pembukaan pelabuhan itu," kata Cik Fu.
Pelabuhan itu dibuka semula Sabtu lalu sekitar 3 petang, setelah ditutup selama dua minggu di mana ia menjalani dua pusingan pembersihan terperinci di seluruh lokasi tersebut.
Dalam satu catatan di Facebook Ahad lalu, Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan terdapat kemungkinan masalah bagi penyewa dan pengunjung perdagangan untuk menyesuaikan diri dengan langkah keselamatan yang diperketat.
Cik Fu berkata kelmarin langkah itu merupakan tanggungjawab semua orang - pegerai, pekerja dan pengunjung perdagangan - yang akan memastikan daya ketahanan Pelabuhan Perikanan Jurong.
"Kami harap seluruh industri ini akan membantu kami untuk terus bekerjasama agar kita dapat memastikan bekalan makanan kita bertahan dan selamat.
JFP mengendalikan sekitar 30 peratus import makanan laut negara ini termasuk yang datang melalui darat dan udara.
Ia mempunyai lebih 100 peniaga dan menarik sehingga 3,000 pelanggan setiap hari.

