APABILA beliau mendapat berita bahawa Perdana Menteri Malaysia, Encik Ismail Sabri Yaakob akan bertemu dengan pemimpin pembangkang tertinggi Ogos lalu, Encik Shannon Teoh mempunyai firasat ia merupakan satu pertemuan yang agak penting.
Selepas membuat beberapa panggilan melalui sumber rasmi, beliau melaporkan berita tentang bagaimana perdana menteri Malaysia itu telah menawarkan pesaingnya pembaharuan dengan mendapatkan sokongan mereka sebagai ganti di Parlimen.
Encik Teoh, 40 tahun, yang telah membuat liputan tentang Malaysia sejak menyertai The Straits Times pada 2014, telah diiktiraf sebagai Wartawan Terbaik semasa majlis Anugerah Kewartawanan SPH Media Trust (SMT) bagi Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil yang diadakan secara maya semalam.
"Ini semua atas sokongan dan semangat berpasukan teman-teman di biro Malaysia," ujarnya.
Anugerah Wartawan Muda Terbaik pula dimenangi oleh Cik Jean Lau, yang banyak membuat liputan berhubung jenayah dan mahkamah.
"Saya amat gembira (menerima anugerah ini) dan agak terperanjat dicalonkan. Ia merupakan satu kejutan yang manis," katanya.
Sementara itu, wartawan Berita Harian, Cik Zulaiqah Abdul Rahim turut dicalonkan bagi anugerah itu.
Anugerah Berita Terbaik pula dimenangi oleh Cik Anita Gabriel, koresponden kanan di The Business Times, bagi laporannya mengenai peruncit elektrik bebas terbesar Singapura iSwitch, yang mengundurkan diri dari pasaran.
Laporan daripada koresponden Berita Harian, Cik Shahida Sarhid, Encik Irshath Mohamed dari akhbar Tamil Murasu dan Cik Michelle Ng dari The Straits Times, turut dicalonkan bagi anugerah Berita Terbaik bagi laporan eksklusif mereka.
Cik Shahida, dicalonkan bagi laporan tentang golongan asatizah yang menjadi mangsa 'tinjauan' bersifat lucah.
Sementara itu, Ketua Editor SPH Media Trust Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil, Encik Warren Fernandez, berkata:
"Matlamat anugerah ini ialah menampilkan kandungan bermutu yang kami banggakan... merentasi kesemua platform kami, justeru kami mahu menyokong, meraikan dan memberi semangat kepada mereka."
Turut mengucapkan tahniah kepada pemenang dan kesemua empat bilik berita, ketua eksekutif sementara SPH Media Trust, Encik Patrick Daniel akur bagaiman landskap media kini telah menjadi lebih sukar untuk menarik perhatian penonton.
"Ia merupakan sebahagian daripada cita-cita SPH Media Trust untuk membangunkan pembaca antarabangsa kami.
"Apabila bilik berita bekerjasama, itulah masa apabila kita dapat mengetengahkan potensi kita," ujarnya.
"Matlamat anugerah ini ialah menampilkan kandungan bermutu yang kami banggakan... merentasi kesemua platform kami, justeru kami mahu menyokong, meraikan dan memberi semangat kepada mereka."| - Ketua Editor SPH Media Trust Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil, Encik Warren Fernandez.
"Ia merupakan sebahagian daripada cita-cita SPH Media Trust untuk membangunkan pembaca antarabangsa kami.
Apabila bilik berita bekerjasama, itulah masa apabila kita dapat mengetengahkan potensi kita." - Ketua eksekutif sementara SPH Media Trust, Encik Patrick Daniel.
SENARAI PEMENANG
BERITA TERBAIK
Dimenangi Cik Anita Gabriel 'The Business Times'
Laporannya tentang peruncit elektrik bebas terbesar Singapura, iSwitch, mengundurkan diri
Tarikh laporan pada 13 dan 14 Oktober 2021
WARTAWAN MUDA TERBAIK
Cik Jean Lau dari 'The Straits Times'
WARTAWAN TERBAIK
Encik Shannon Teoh dari 'The Straits Times'


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg