PELUANG tinggal seiring dengan alam semula jadi, kemudahan pelbagai yang tersedia di 'depan mata', serta kegunaan teknologi baru seperti sumber tenaga hijau bagi prasarana seperti lif dan lampu.
Demikian antara ciri-ciri kecemerlangan seni bina dan kejuruteraan yang terdapat pada projek binaan yang bakal diiktiraf HDB melalui 16 anugerah yang bakal diberikan tahun ini.
Kesemua anugerah tersebut akan disampaikan oleh Menteri Pembangunan Negara Encik Desmond Lee semasa Majlis Anugerah HDB yang bakal berlangsung pada 20 Oktober di Hab HDB Toa Payoh.
Antara projek yang dikenal pasti termasuk SkyParc@Dawson yang selesai dibina Disember tahun lalu.
Alam semula jadi menjadi tarikan kawasan perumahan tersebut dengan pelbagai flora, fauna dan serangga yang boleh didapati di kawasan itu.
Hasil seni bina syarikat tempatan Design Link Architects itu merangkumi tiga flat dengan 810 unit kediaman dua bilik Flexi, tiga, empat dan lima bilik.
Ia juga merupakan salah satu tapak gantian bagi Skim Pembangunan Semula Terpilih Secara Berkelompok (Sers) bagi penduduk Tanglin Halt.
Ia juga memaparkan koridor-eko sepanjang 200 meter dengan tempat duduk di bawah redup 18 pokok besar, termasuk pohon mahogani yang berdaun lebar.
Koridor berjalan kaki itu sebelum ini merupakan sebahagian daripada Margaret Drive dan arkitek telah merancang pembangunan flat-flat itu di sekeliling pokok-pokok matang tersebut supaya ia tidak musnah dan dapat mengekalkan hidupan liar kawasan itu.
Sementara itu, pembangunan bersepadu dengan reka bentuk yang diiktiraf adalah Eastlink I and II @Canberra, dua projek Bina Ikut Tempahan (BTO) yang selesai dibina pada 2019.
Direka oleh syarikat tempatan SAA Architects, setiap satu daripada 11 blok kediaman itu terhubung melalui laluan pejalan kaki berbumbung langsung ke stesen MRT Canberra, pusat kejiranan tiga tingkat dan penghubung taman.
Ini memberikan penduduk laluan yang selamat dan tidak terhalang ke pelbagai kemudahan dan memaksimakan peluang bagi mereka berjumpa dan berinteraksi dalam aktiviti harian, kata HDB.
Parc Residences@Tengah juga bakal diberikan anugerah kejuruteraan inovatif bagi metode reka bentuk kejuruteraan dan binaan yang baik.
Direka oleh pasukan perancang, arkitek dan jurutera HDB projek ini merangkumi 12 blok dengan sebanyak 1,044 unit kediaman yang terdiri daripada unit dua bilik Flexi, tiga, empat dan lima bilik. Ia juga dihubungkan dengan pusat kejiranan.
Ketua eksekutif HDB, Encik Tan Meng Dui berkata kontraktor dan perunding telah mengalami tempoh yang mencabar selama satu setengah tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19, namun mereka telah menyahut cabaran tersebut.
"Disebabkan dedikasi, profesionalisme dan daya tahan mereka semasa pandemik, HDB mampu terus menyediakan rumah-rumah yang bermutu bagi warga Singapura, dengan jumlah flat yang lebih banyak sekarang berbanding sebelum pandemik.
"Melalui anugerah HDB ini, kami gembira mengiktiraf dan mengesahkan kecemerlangan yang dipaparkan rakan kongsi industri dalam reka bentuk dan binaan projek perumahan kami," katanya.
HDB dijangka menepati rancangannya untuk melancarkan sekitar 17,000 flat BTO tahun ini dan akan menambah jumlah tersebut tahun depan.
ANTARA PROJEK YANG DIIKTIRAF
ANUGERAH REKA BENTUK
ANUGERAH REKA BENTUK INOVATIF
SIJIL MERIT
ANUGERAH SENI BINA HDB
SIJIL MERIT
ANUGERAH KEJURUTERAAN HDB
SIJIL MERIT (KEJURUTERAAN)


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg