Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seniman teater Nadiputra antara penerima anugerah penulisan Asean

Oct 8, 2021 | 5:30 AM
PENCAPAIAN TERBARU: Pelopor teater tempatan Nadiputra merupakan salah seorang pemenang anugerah serantau tersebut, yang juga dimenangi penulis tempatan Simon Tay. - Foto fail
PENCAPAIAN TERBARU: Pelopor teater tempatan Nadiputra merupakan salah seorang pemenang anugerah serantau tersebut, yang juga dimenangi penulis tempatan Simon Tay. - Foto fail -

SENIMAN teater mapan tempatan Almahdi Al-Haj Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai Nadiputra, akan menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) bagi Singapura.

Seorang lagi penerima anugerah itu ialah penulis tempatan Simon Tay.

Anugerah serantau itu, yang diberikan setiap tahun sejak 1979 kepada pemuisi dan penulis terkemuka di 10 negara Asean, akan disampaikan di sebuah majlis anugerah tahun depan dek penundaan akibat pandemik Covid-19.

Nadiputra memenangi anugerah itu tahun lalu, manakala Tay pula mendapat anugerah itu bagi 2019.

Kemenangan tersebut diumumkan Majlis Buku Singapura semalam.

Nadiputra, 75 tahun, seorang pelopor teater Melayu di Singapura dan telah terlibat dalam seni itu selama lebih 50 tahun.

Pelakon, pengarah dan penerbit itu telah menulis lebih 300 karya bagi pentas, radio dan televisyen.

Beliau juga menulis skrip bagi drama televisyen Melayu seperti siri Sandiwara yang popular pada tahun 1980-an.

Mantan presiden kumpulan seni pentas Sriwana itu telah menulis pementasan daripada muzikal, Jefri Dan Maria, pada 1986 hingga ke penerbitan bangsawan berskala besar, Raden Mas, pada 2016.

Sebelum ini, beliau pernah menerima Pingat Budaya pada 1986 dan Anugerah Tun Seri Lanang pada 2013.

"Bagi saya, ini mewakili semua kerja keras yang telah saya lakukan dengan ikhlas tanpa (menjangkakan) apa-apa. Ia adalah satu penghormatan untuk diiktiraf dan dihargai," kata beliau mengenai kemenangan terbarunya itu.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam catatan Facebooknya semalam mengucapkan tahniah kepada Nadiputra atas kemenangannya itu.

"Beliau banyak menghasilkan karya drama di pentas dan radio dan memajukan seni di Tampines West," kata beliau.

Sementara itu, Tay, 60 tahun, pula pernah memenangi Hadiah Sastera Singapura pada 2010 bagi novelnya bertajuk City of Small Blessings. Beliau juga telah menerbitkan puisi dan kisah pendek, seperti koleksi Middle and First pada 2016.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg