Topik diikuti
Pergi ke BHkuSentosa dapat suntikan nafas baru
Sentosa dapat suntikan nafas baru
Sentosa dapat suntikan nafas baru
SETELAH dua tahun yang sepi Sentosa bakal dihidupkan semula dengan tiga projek yang hampir selesai.
Raffles Sentosa Resort & Spa Singapore, laluan pejalan kaki pelbagai deria SensoryScape dan kawasan gaya hidup dan hiburan Palawan Sands dijadual dibuka tahun depan.
"Sepanjang dua tahun lalu, semuanya menjadi perlahan dari aspek perniagaan, tetapi kami mengambil peluang tersebut untuk menjadikan ia lebih menarik.
"Tahun depan, (Sentosa) akan mendedahkan banyak perkara - ia datang agak tepat pada waktunya dengan pemulihan (pandemik Covid-19)," kata Encik Chew Tiong Heng, pengarah divisyen pembangunan pengalaman dan perniagaan di Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC).
"Menjelang 2024, kami akan bersedia sepenuhnya untuk menunjukkan Sentosa yang baru."
Resort Raffles itu akan terletak bersebelahan Sofitel Singapore Sentosa Resort & Spa dan akan menampilkan vila, setiap daripadanya mempunyai kolam renang peribadi.
SensoryScape, yang akan siap menjelang akhir tahun depan, adalah projek di bawah pelan induk Sentosa-Brani, dan merupakan laluan penghubung yang menyatukan Resorts World Sentosa dengan pantai pulau tersebut.
Palawan Sands, yang dimiliki Shangri-La Group, akan menempatkan kemudahan seperti litar go-kart elektrik, padang golf mini, dan dua kelab pantai. Ia dijadualkan untuk dibuka pada suku kedua tahun depan.
Encik Chew berkata: "Acara dan program amat penting bagi Sentosa - ia memberikan seluruh pulau ini jiwa.
"Kami gembira peraturan kini membolehkan kami untuk menjalankan acara yang berskala lebih besar."
Salah satu acara sebegitu ialah Zentosa Fest, sebuah festival kesejahteraan yang akan berlangsung dari 3 Jun hingga 30 Jun, lapor akhbar The Straits Times.
Anjuran bersama SDC, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan rakan lain, ia merupakan sebahagian Festival Kesejahteraan Singapura yang diadakan buat julung-julung kalinya dan perayaan ulang tahun Sentosa yang ke-50.
Zentosa Fest sejajar dengan agenda perjalanan yang berubah, sedang lebih ramai individu mengutamakan kesejahteraan mental dan kesihatan, kata Encik Chew di pratonton media pesta tersebut kelmarin.
Beliau menambah: "Sentosa terletak di kedudukan yang sangat baik - sebahagian besar pulau ini dipenuhi kehijauan dan hutan hujan yang subur, dengan hamparan tepi pantai yang bersih.
"Ini membolehkan kami melakarkan pengalaman kesejahteraan yang unik kepada Sentosa."
Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai Zentosa Fest dan mendaftar diri bagi kegiatannya boleh lungsuri laman web https://zentosafest.sentosa.com.sg/.
