SERAMAI lapan pesakit dalam kalangan masyarakat merupakan antara 570 kes jangkitan Covid-19 baru yang disahkan Kementerian Kesihatan pada malam Rabu (20 April).
Salah seorang daripadanya merupakan pemegang pas kerja warga Filipina yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Masyarakat Ren Ci.
Beliau disahkan positif pada 19 Mei dan kini dirawat di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
Dalam kenyataannya, MOH berkata dua kes melibatkan warga setempat atau penduduk tetap.
Salah seorang daripada dua kes itu merupakan warga setempat yang telah pergi ke kerja di Kranji Lodge I - juga merupakan satu kelompok jangkitan yang dilaporkan MOH sebelum ini.
Seorang lagi pula merupakan penduduk tetap, turut merupakan seorang ahli keluarga salah satu kes yang sudah dilaporkan sebelum ini.
Baki lima kes di kalangan masyarakat itu melibatkan pemegang permit kerja dan dua pesakit antara golongan itu mempunyai hubungan erat bersama kes yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Seramai 562 kes pula melibatkan pekerja asing yang menginap di asrama pekerja.
Jumlah pesakit Covid-19 secara keseluruhan kini adalah 29,364 orang dan angka korban adalah 22 orang.
Sementara itu MOH telah mengenal pasti lagi dua kelompok jangkitan, iaitu di 29 Senoko South Road dan 114 Tagore Lane.
Lagi 842 kes pula telah diizinkan pulang menjadikan angka pesakit yang sudah pulih kepada 11,207 orang.
Seramai 952 kes masih menerima rawatan di hospital, kebanyakan dalam keadaan stabil atau sedang pulih, manakala 11 pesakit sedang menerima rawatan unit penjagaan intensif.
Searamai 17,181 pesakit yang menghidap simptom ringan atau sudah 'sihat' namun diuji positif, pula diasingkan dan diberi penjagaan di kemudahan penjagaan masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg