KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) telah mengarahkan restoran Seoul Garden untuk menghentikan operasi sepenuhnya selama 10 hari mulai semalam di cawangannya di Tampines Mall setelah siasatan menunjukkan bahawa restoran itu gagal mematuhi Langkah Pengurusan Selamat (SMM).
MOH menjalankan siasatannya setelah seorang individu diuji positif bagi jangkitan Covid-19 selepas makan malam bersama 12 anggota keluarga lain di restoran tersebut pada 21 November.
Dalam kenyataannya semalam, MOH berkata walau anggota keluarga duduk berasingan dan mengehadkan jumlah orang pada satu meja kepada hanya lima orang, siasatan menunjukkan terdapat pergaulan antara mereka.
Restoran itu didapati tidak mengambil langkah yang wajar untuk mengelakkan pergaulan antara pelanggan di restoran itu.
MOH menambah, siasatan terhadap restoran serta kes positif Covid-19 dan keluarganya masih dijalankan.
"... tindakan penguatkuasaan selanjutnya boleh diambil sementara menunggu hasil siasatan ini," tambah MOH.
Sementara itu, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) juga telah mengarahkan kedai kasut Foot Locker untuk menghentikan operasi selama 10 hari mulai semalam di cawangannya di Orchard Gateway @ Emerald kerana gagal mematuhi langkah pengurusan selamat Covid-19.
STB dalam satu kenyataan bersama Enterprise Singapura (ESG) semalam berkata: "Ramai orang telah berkumpul di cawangan itu pada Jumaat sempena pelancaran produk (semalam), walaupun nasihat telah dikeluarkan beberapa kali oleh agensi penguatkuasaan awam mengenai pengurusan orang ramai."
Selama tempoh penangguhan perniagaan, cawangan Foot Locker di Orchard itu tidak dibenarkan melakukan perniagaan secara fizikal tetapi masih boleh teruskan penjualan dalam talian, tambah kenyataan itu.
Siasatan masih dijalankan dan tindakan penguatkuasaan selanjutnya mungkin akan diambil.
STB dan ESG juga sedang membincang bersama Foot Locker mengenai langkah-langkah yang akan diambil untuk pelancaran produk dalam masa akan datang, ini termasuk menghentikan semua pelancaran fizikal yang sama di semua cawangan Foot Locker di sini.
Mereka juga menambah bahawa perniagaan runcit disarankan untuk mengadakan jualan dalam talian dan bukannya mengadakan pelancaran produk fizikal yang akan menarik ramai orang.
"Jika pelancaran secara fizikal dianjurkan, perniagaan itu perlu memastikan mereka mempunyai rancangan yang menyeluruh untuk langkah-langkah keselamatan, seperti mengawal orang ramai dan mengehadkan jumlah orang," kata agensi-agensi tersebut.
Pada Jumaat malam, foto yang tular di media sosial menunjukkan sekitar 100 orang mula berkumpul di luar kedai kasut itu kira-kira 8 malam untuk mendapatkan sneaker Adidas edisi terhad yang hanya dilancarkan semalam.
Kumpulan itu kemudian bersurai tidak lama selepas 8.30 malam setelah duta jarak selamat dan pegawai polis tiba.
Jurucakap Foot Locker semalam memberitahu bahawa pihaknya tidak akan mengadakan sebarang acara di kedai itu hujung minggu ini.
"Kami memandang serius mengenai isu berkumpul secara ramai dan sedang terus berusaha secara proaktif untuk menjaga jarak selamat di kalangan semua pelanggan dan kakitangan kami.
"Kami akan terus mengehadkan jumlah pelanggan bagi semua kedai kami mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," kata jurucakap itu, menurut laporan The Straits Times.
Dalam pada itu, lagi 13 kes koronavirus dilaporkan di Singapura sehingga 12 tengah hari semalam, menjadikan kes koronavirus itu di sini sebanyak 58,254.
Antaranya ialah 12 kes import dengan 11 daripadanya telah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setibanya mereka di sini, kata MOH.
Satu lagi kes yang diimport adalah warga Singapura yang telah melancong ke Indonesia dengan Pas Perjalanan Perniagaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg