Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan siber oleh kumpulan ATP naik 4 kali ganda sejak 2021

CSA kerjasama dengan agensi berkaitan bagi tangani serangan
Jul 18, 2025 | 8:21 PM
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam (tiga dari kiri) bersama (dari kiri) Setiausaha Tetap Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Encik Joseph Leong; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; mantan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean; Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA), Encik David Koh; di Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 CSA pada 18 Julai, di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam (tiga dari kiri) bersama (dari kiri) Setiausaha Tetap Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Encik Joseph Leong; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; mantan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean; Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA), Encik David Koh; di Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 CSA pada 18 Julai, di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands. - Foto ZAOBAO

Jumlah serangan siber yang disyaki dilakukan kumpulan ancaman lanjut berulang (APT) terhadap Singapura meningkat empat kali ganda sejak 2021, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

APT ialah sekumpulan penggodam canggih yang biasanya mencuri maklumat sensitif, mengganggu perkhidmatan krtikal dan menyerang prasarana penting seperti penjagaan kesihatan, syarikat telekomunikasi, dan pengangkutan.

Bercakap semasa Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) pada 18 Julai, di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, Encik Shanmugam berkata Singapura pernah diserang, dan masih terus diserang penggodam ancaman siber.

Ini merupakan ucaptama pertama Encik Shanmugam sebagai Menteri Penyelaras sejak beliau mengambil alih jawatan daripada pendahulunya, Encik Teo Chee Hean, yang telah memegang jawatan itu selama 14 tahun sejak 2011 sebelum beliau bersara daripada politik.

“Dunia hari ini mempunyai lebih banyak bahaya di alam siber, berbanding 10 tahun lalu.

“Pelaku siber berniat jahat menggunakan teknologi baru. Penjenayah siber menggunakan AI (kecerdasan buatan) untuk menjana e-mel pancingan data, membangunkan perisian hasad.

“Ia tidak lagi mencukupi untuk hanya mengawal sistem kita yang paling kritikal. Sasaran berpotensi telah meningkat. Ia termasuk vendor luar, pembekal dan penyedia perkhidmatan di sepanjang rantaian bekalan,” kata Encik Shanmugam.

Beliau turut berkongsi bahawa lapan daripada 10 organisasi telah mengalami serangan siber. Kebanyakannya dilakukan oleh penjenayah siber.

Penggodam dan pelaku asing juga telah menggunakan ruang siber untuk mempromosikan agenda politik dan ideologi mereka, tambahnya.

Pada Oktober 2024, pemerintah menyekat 10 laman web tidak sahih yang telah ditubuhkan oleh pelaku asing untuk menyamar sebagai laman web Singapura.

Laman web itu berpotensi digunakan sebagai kempen maklumat bermusuh terhadap Singapura.

Semasa ucapannya, Encik Shanmugam turut mendedahkan bahawa UNC3886, sebuah kumpulan APT, sedang menyerang prasarana kritikal Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CSA, Encik David Koh, berkata dalam ucapannya bahawa Singapura bekerjasama rapat dengan pemilik prasarana maklumat kritikal (CII) dan rakan kongsi industri untuk melindungi diri daripada ancaman berterusan dan akan datang.

Menurut Encik Koh, kumpulan APT sangat canggih, sentiasa mengembangkan taktik mereka dan sengaja memilih sasaran seperti CII Singapura.

CII merujuk kepada sektor kritikal seperti pemerintah, infokom, tenaga, penerbangan, maritim, pengangkutan darat, penjagaan kesihatan, perbankan dan kewangan, air, keselamatan dan perkhidmatan kecemasan, dan media.

“Kami telah meningkatkan keperluan, membina keupayaan sektoral, dan menggunakan sistem amaran awal yang menggabungkan telemetri teknikal dengan cerapan perisikan.

“Kami telah membina perkongsian teguh dan berkesan dari segi operasi, bekerjasama untuk melindungi, mengesan, bertindak balas dan memulihkan daripada ancaman di ruang siber kami,” kata Encik Koh yang juga Pesuruhjaya Keselamatan Siber.

Tidak seperti penjenayah siber atau penggodam, APT lebih cenderung menjadi kumpulan tajaan pemerintah yang mempunyai sumber yang baik, dengan matlamat mahu mengumpul maklumat sensitif, menjalankan pengintipan siber atau mensabotaj sistem kritikal.

Mereka menggunakan teknik canggih untuk menjejas sistem dan mengelak pengesanan sambil mencuri maklumat sensitif atau mengganggu perkhidmatan penting, yang menimbulkan ancaman keselamatan negara kepada banyak negara, termasuk Singapura, kata Encik Koh.

Pada 2024, CSA menemui 2,700 peranti kediaman seperti penghala yang telah diserang penggodam dan disertakan ke dalam botnet sejagat.

Botnet merujuk kepada rangkaian komputer yang dijangkiti perisian hasad dan digunakan untuk melakukan serangan siber.

Pada 2018, sistem IT SingHealth terjejas oleh serangan kumpulan APT dengan maklumat peribadi 1.5 juta pesakit, termasuk Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, telah dicuri.

Menutup ucapannya, Encik Shanmugam berkata jalan ke hadapan akan menjadi lebih mencabar memandangkan Singapura telah diserang dan akan terus diserang APT dan pelaku asing.

Memberi jaminan bahawa pemerintah sedang memantau serangan oleh UNC3886 dengan teliti, Encik Shanmugam berkata: “CSA dan agensi berkaitan – mereka secara aktif menangani serangan itu. Mereka bekerjasama dengan pemilik CII.

“Kita perlu kekal tangkas, menyesuaikan diri dengan ancaman yang muncul.

“Kita memerlukan kemahuan dan komitmen kolektif untuk mencuba dan melakukan yang terbaik untuk melindungi ruang siber kita,” tambahnya.

“Dunia hari ini mempunyai lebih banyak bahaya di alam siber, berbanding 10 tahun lalu. Pelaku siber berniat jahat menggunakan teknologi baru. Penjenayah siber menggunakan AI (kecerdasan buatan) untuk menjana e-mel pancingan data, membangunkan perisian hasad. Ia tidak lagi mencukupi untuk hanya mengawal sistem kita yang paling kritikal. Sasaran berpotensi telah meningkat. Ia termasuk vendor luar, pembekal dan penyedia perkhidmatan di sepanjang rantaian bekalan.”
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg