Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seronok belajar pakai sari sambil kenali budaya India

Oct 29, 2024 | 3:29 PM
Cik Sapeah Kamsah, 70 tahun, teruja belajar mengikat sari dan ingin membeli sepasang kain sari hijau seperti yang dipakainya pada sesi 20 Oktober.
Cik Sapeah Kamsah, 70 tahun, teruja belajar mengikat sari dan ingin membeli sepasang kain sari hijau seperti yang dipakainya pada sesi 20 Oktober. - Foto KELAB MASYARAKAT CANBERRA

Walaupun umurnya sudah mencecah 70 tahun, Cik Sapeah Kamsah tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai kursus memakai sari di Kelab Masyarakat Canberra.

Cik Sapeah dan teman-temannya turut sama mendaftarkan diri untuk kursus itu yang dikendalikan oleh jurusolek dan pengasas Kala Beauty Studios, Cik Kalawathy Arumugam, 50 tahun.

“Saya terpesona dengan pakaian tradisional orang India. Bajunya cantik tetapi saya tidak pernah ambil tahu cara ia dipakai, jadi kursus ini memberi saya peluang memperagakan baju sari,” kata Cik Sapeah, ibu kepada tiga orang anak itu.

Bagi Cik Kalawathy, sesi itu adalah pengalaman yang baru untuknya kerana biasanya pelanggannya terdiri daripada masyarakat India.

Peserta daripada pelbagai kaum belajar mengikat sari daripada jurusolek dan pengasas Kala Beauty Studios, Cik Kalawathy Arumugam (sembilan dari kanan), sempena acara sambutan Deepavali yang dianjurkan oleh Kelab Masyarakat Canberra dan disokong Persatuan Rakyat (PA). 
Peserta daripada pelbagai kaum belajar mengikat sari daripada jurusolek dan pengasas Kala Beauty Studios, Cik Kalawathy Arumugam (sembilan dari kanan), sempena acara sambutan Deepavali yang dianjurkan oleh Kelab Masyarakat Canberra dan disokong Persatuan Rakyat (PA).  - Foto KELAB MASYARAKAT CANBERRA

“Saya bawa produk yang sesuai untuk solekan dan kulit warna orang India, tetapi saya berpatah balik dan mengambil warna yang lebih sesuai untuk kulit orang Melayu dan Cina, yang menyertai sesi memakai sari itu juga,” terang Cik Kalawathy.

Sesi itu dihadiri oleh 26 peserta Melayu, Cina dan India.

Peserta diajar mengikat sari dan juga solekan untuk meraikan Deepavali.

“Pada mulanya, saya agak bimbang tentang perasaan peserta tentang solekan yang saya lakukan untuk melengkapkan pakaian sari, tetapi sebaliknya, ia diterima dan disokong peserta yang hadir,” tambah Cik Kalawathy, yang juga mengajar mereka tentang penjagaan kulit sebelum memakai alat solek.

Dalam sesi itu, Cik Sapeah, yang juga aktif bersenam dan berlari-lari anak, dapat mencuba memakai sari yang dianggap busana yang menarik.

“Saya suka tengok orang India memakai sari, dan dalam sesi itu kami belajar cara mengikat sari dan bersolek. Selama ini saya tidak pernah belajar memakai make-up, jadi saya seronok dalam belajar macam-macam benda baru.

“Selepas ini, saya ingin membeli sendiri sari berwarna hijau supaya saya dapat berlatih. Ia sangat menarik!” kata Cik Sapeah, yang sudah menginap di kawasan Sembawang selama 24 tahun.

Menurut Cik Kalawathy, sebelum memakai sari, peserta dikehendaki memakai baju bahagian dalam dan sari harus dilipat dengan teliti sebelum disemat di baju pada bahagian bahu.

Acara yang berlangsung dari 2 hingga 4 petang pada 20 Oktober itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kaum di kawasan Sembawang, serta menghargai budaya kaum lain.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Rakyat di bawah program yang diselenggarakan oleh Kelab Masyarakat Canberra.

“Saya terpesona dengan pakaian tradisional orang India. Bajunya cantik tetapi saya tidak pernah ambil tahu cara ia dipakai, jadi kursus ini memberi saya peluang memperagakan baju sari.”
Cik Sapeah Kamsah, 70 tahun, peserta kursus memakai sari di Kelab Masyarakat Canberra.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg