Topik diikuti
Pergi ke BHkuSetiap generasi perlu tunjuk prestasi lebih baik, atasi generasi sebelumnya
Setiap generasi perlu tunjuk prestasi lebih baik, atasi generasi sebelumnya
Seramai 550 peserta daripada 30 institusi prauniversiti telah berhimpun secara fizikal bagi seminar prauniversiti tahun ini dan melibatkan diri dalam dialog mengenai identiti dan nilai Singapura. Bertemakan 'Khidmat: Menempa Kisah Singapura', seminar tahun ini menggalak peserta untuk menimbangkan cara rakyat Singapura boleh menyumbang kepada negara. Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, telah memberikan ucapan pembukaan acara itu yang diadakan di Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) kelmarin. Ini merupakan antara sedutan ucapan beliau.
Setiap generasi perlu tunjuk prestasi lebih baik, atasi generasi sebelumnya
SEDANG kita menangani cabaran Covid-19, kita tidak boleh lepas pandang pada kuasa besar lain yang membentuk dunia, meski sebelum pandemik.
Izinkan saya bermula dengan geopolitik.
Saingan antara kuasa besar akan menentukan adakah kita masih boleh mempunyai keselamatan antarabangsa yang berdasarkan peraturan, ekonomi dan perintah perdagangan untuk negara menakat terutama bagi negara kecil seperti kita.
Serangan Russia terhadap Ukraine dan sebab ia gunakan sebagai alasan menggunakan kekerasan telah menimbulkan persoalan kewujudan bagi negara kecil - apakah masih terdapat peraturan undang-undang antarabangsa untuk membenarkan negara kecil wujud?
Dan lebih penting lagi, kita tidak harus membuat andaian bahawa 50 tahun mendatang akan sama seperti 50 tahun lalu, dengan kita telah meraih perintah ekonomi yang selamat dan mantap diperkukuh lagi dengan kedamaian dan kemakmuran kita yang sekali gus membolehkan kita maju bersama melalui usaha saling bergantung antara satu sama lain.
Ketegangan geopolitik juga memberi kesan terhadap kerjasama ekonomi dan pertumbuhan.
Untuk memelihara kepentingan negara, beberapa negara telah beralih kepada tindakan pelindung, sikap yang lebih mementingkan diri sendiri dan dasar yang menjejas negara jiran.
Secara ironi, daya tahan ekonomi akan wujud daripada ketersambungan dan kepelbagaian dengan lebih meluas berbanding pengasingan dan bersikap eksklusif.
Dengan kemajuan teknologi yang semakin pesat, kita tidak lagi terhad dan didefinisikan oleh geografi fizikal menerusi cara kita hidup dan bekerja bersama.
Sedang kita beralih kepada transformasi digital dan kemajuan kecerdasan buatan selanjutnya, kita telah dibentangkan dengan peluang ketara yang boleh kita rebut.
Menambah kepada kerumitan ialah isu perubahan iklim sebenar yang berlaku dan ancaman kewujudan kepada banyak negara bandar kecil seperti kita.
Negara perlu mengemudi rintangan untuk mencari huraian baik dan inovatif bagi pembangunan kemampanan.
Kita juga tidak boleh mengendahkan perubahan masyarakat serata dunia.
Diancam dengan ketidaksamaan yang kian meningkat serta keburukan xenofobia - perasaan sangat takut atau benci terhadap orang asing - lebih banyak suara-suara yang memecahbelahkan akan kedengaran dengan lantang.
Justeru, kita perlu memperkukuh fabrik sosial untuk melindungi daripada kuasa yang memecahbelahkan.
Setiap generasi merupakan generasi perintis.
Berlatarbelakangkan ini, anda dan generasi anda mungkin terfikir sama ada anda akan disifatkan sebagai rakyat Singapura lagi menjelang 2065 ataupun tidak.
Tetapi saya optimistik dan saya rasa anda dan generasi anda mempunyai sebab untuk menjadi optimistik.
Setiap generasi akan mempunyai cabaran mereka tersendiri. Setiap generasi perlu menangani krisis dan ini sama buat generasi anda.
Tetapi ingat, setiap generasi boleh, akan dan menjadi generasi perintis.
Setiap generasi rakyat Singapura tidak hanya berharap menangani cabaran tetapi sebaliknya berdepan dengan cabaran secara langsung dan bermatlamat meninggalkan Singapura yang lebih kukuh bagi masa depan.
Dan inilah cara kita mendefinisikan kejayaan.
Bukan sahaja melalui apa yang kita lakukan untuk generasi ini tetapi sejauh mana kita membolehkan generasi seterusnya melakukan lebih baik daripada kita.
Inilah Singapore Compact.
Bagi membolehkan semua orang melepasi diri mereka sendiri.
Bagi membolehkan setiap generasi melepasi generasi sebelumnya.
Melebihi tahun 2020, generasi anda akan menerajui kita ke arah SG100. Anda akan menjadi pemimpin SG100.
Anda juga mempunyai cabaran anda sendiri.
Bagi merealisasikan wawasan kita untuk SG100, kami akan melakukan yang terbaik untuk melengkapi generasi anda dengan asas yang diperlukan.
Dan kini saya akan sentuh tiga ciri yang saya rasa kritikal bagi anda sedang anda menerajui SG100 dan seterusnya.
Saya mulakan dengan sikap ingin tahu.
Sikap ingin tahu ini merupakan permulaan kreativiti.
Hanya apabila seseorang mempunyai sikap ingin tahu, barulah orang itu akan berdisiplin dengan terus mencari huraian hari esok bagi cabaran hari esok.
Penguasaan masa lampau hanya merupakan satu asas.
Penguasaan masa lampau sahaja tidak akan memberi kita kelebihan manfaat masa depan.
Sebaliknya, dengan sikap ingin tahu dan berani menghasilkan, itulah yang akan memberi kita kelebihan.
Melihat pada peranan Singapura sebagai titik pertemuan penting bagi pelbagai industri dan perkhidmatan, jika kita mempunyai pengetahuan, kemahiran dan keupayaan lebih kukuh, akan terdapat lebih banyak peluang yang dapat kita manfaatkan.
Kemahiran dan keupayaan seperti penghasilan, menyelesaikan masalah, kerjasama, keyakinan rentas budaya, komunikasi, pengurusan sendiri dan penggunaan teknologi dengan baik adalah penting bagi pekerjaan hari esok.
Melihat pada ekonomi baru yang kian berkembang, sukar bergantung pada kohort baru siswazah untuk memenuhi keperluan kita bagi kemahiran yang semakin diperlukan buat negara kita.
Kita semua perlu mendakap dan secara aktif pelajari perkara baru sepanjang kehidupan kita - belajar, meninggalkan pelajaran lama, dan belajar semula. Inilah semangat pembelajaran sepanjang hayat, yang diasaskan oleh sikap ingin tahu sepanjang hayat.
Kedua, ialah menjalin hubungan.
Sebagai generasi perintis baru kita, anda perlu berani keluar daripada zon keselesaan dan pelajari tentang dunia sendiri.
Oleh kerana itu, kami menggalak pelajar agar mempunyai pendedahan global dan mengambil bahagian dalam pengalaman pada peringkat antarabangsa.
Menjalin hubungan dengan dunia juga bermakna bersedia mendakap bakat global untuk menyertai kami dengan terus membangunkan Singapura yang boleh berdaya tahan.
Sama ada di sekolah ataupun di tempat kerja, kita boleh belajar daripada satu sama lain, meneroka idea baru dan memberikan yang terbaik.
Melebihi menjalin hubungan dengan dunia, kita juga perlu menjalin hubungan dengan Singapura dan masyarakat kita.
Ketiga ialah rasa yakin.
Dalam sekitaran global yang berdaya saing, mempunyai sikap yang sihat adalah penting.
Rasa yakin pada diri sendiri sebagai individu bermula dengan terlebih dahulu memahami kekuatan, kekurangan dan kepentingan.
Kita tidak perlu terus membandingkan diri kita dengan orang lain.
Keinginan untuk melepasi diri sendiri sepanjang hayat lebih penting daripada cuba melepasi orang lain dalam apa jua peperiksaan.
Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu pelajari bagaimana mendefinisi kejayaan melebihi diri kita sendiri.
Kejayaan perlu dilihat dalam konteks lebih meluas tentang bagaimana kita boleh menyumbang kepada sebab yang lebih besar, panggilan untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dan bagaimana kita boleh menyumbang kepada orang lain dan masyarakat melebihi kita.
Sama seperti bagaimana setiap individu itu unik, setiap masyarakat juga unik dan mempunyai cabarannya tersendiri.
Kita perlu berani mencari huraian sendiri dengan mengikut konteks, daripada sekadar meniru lain di luar konteks. Kita juga perlu belajar daripada lain tetapi perlu menerapkan apa yang dipelajari kepada konteks kita sendiri.
Sebagai rumusan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Maktab Rendah Kebangsaan bagi menganjurkan bersama Seminar Prauniversiti tahun ini bersama Kementerian Pendidikan.
Anda semua akan menjadi pemimpin SG100 apabila kita tiba di sana kelak, dan perjalanan anda bermula dari sekarang.
Bagi anda memahami cabaran yang kita hadapi dan menghargai ruang bagi huraian yang kita ada.
Tetapi yang lebih penting ialah bagi anda menjalin hubungan dan komitmen dengan menyatakan bahawa anda akan menangani cabaran dan membawa kita ke SG100 dan selanjutnya.
