YAYASAN Temasek akan mengagihkan satu oksimeter kepada setiap isi rumah di Singapura supaya penduduk dapat memantau paras oksigen dalam darah secara kerap.
Peranti itu memeriksa paras oksigen dalam darah dan boleh membantu mengesan tanda awal kemerosotan kesihatan.
Inisiatif ini diusahakan sedang timbulnya varian Covid-19 baru dan lebih berjangkit.
"Virus Covid-19 boleh menyebabkan paras oksigen dalam darah untuk merosot kepada paras rendah yang sangat berbahaya, walaupun apabila anda tidak mengalami sebarang simptom," kata yayasan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
"'Pneumonia senyap' adalah salah satu akibat yang paling serius daripada Covid-19, di mana orang yang sakit parah dapat merasa sihat secara umum, walaupun paru-parunya rosak," katanya.
Isi rumah boleh mengambil peranti itu di lebih 300 cawangan FairPrice, Sheng Siong, Giant, Cold Storage, Watsons, Unity dan Guardian, mulai 5 Julai hingga 5 Ogos.
Mereka harus menunjukkan risalah di tempat pengambilan, yang akan diagihkan menerusi peti surat antara 28 Jun dengan 3 Julai.
Paras oksigen dalam darah antara 95 dengan 100 dianggap sihat, manakala paras antara 90 dengan 94 adalah rendah.
Mereka dengan paras oksigen dalam darah yang rendah mungkin perlu oksigen tambahan dan dinasihati untuk berjumpa doktor, kata yayasan itu.
Paras oksigen dalam darah di bawah 90 peratus adalah "rendah dan berbahaya" dan rawatan segera di jabatan Kemalangan dan Kecemasan diperlukan.
Yayasan itu menekankan bahawa bacaan oksigen dalam darah tidak boleh menggantikan ujian Covid-19 kerana paras oksigen dalam darah yang rendah bukan petunjuk pasti menguji positif bagi virus itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg