Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setiap orang main peranan halang isu perkauman

Apr 3, 2021 | 5:30 AM
SUDAH SEDEKAD DI RANTAUAN: Cik Nadiah, bergambar bersama mak ciknya dan rakan keluarganya, sudah menetap di Australia selama sedekad dan berharap dapat mendidik pelajarnya untuk saling memahami kaum berbeza. - Foto ihsan NADIAH MUHAMAD NASIR
SUDAH SEDEKAD DI RANTAUAN: Cik Nadiah, bergambar bersama mak ciknya dan rakan keluarganya, sudah menetap di Australia selama sedekad dan berharap dapat mendidik pelajarnya untuk saling memahami kaum berbeza. - Foto ihsan NADIAH MUHAMAD NASIR -

SUDAH sedekad sejak warga Singapura Cik Nadiah Muhamad Nasir berpindah ke Perth, Australia bersama keluarganya tetapi mengakui bahawa beliau masih mengalami kejadian perkauman atau xenofobia apabila berada di kedai atau di sekolah.

Bagimanapun, Cik Nadiah menekankan bahawa kebanyakannya datang daripada orang asli (Aboriginal) yang menetap di Australia, bukan warga Australia sendiri.

Menurut wanita berusia 26 tahun itu, ada orang asli yang melontarkan kata-kata berunsur perkauman.

"Terdapat banyak isu perkauman disebabkan Covid-19. Kadangkala, ada yang katakan 'pulang ke negara anda', tetapi saya pun tidak boleh lakukan demikian memandangkan sempadan ditutup," ujarnya kepada Berita Harian.

Sebelum Covid-19, apabila kejadian perkauman seperti itu berlaku, Cik Nadiah berkongsi beliau agak takut dan akan lari ke keretanya.

Sebagai seorang guru sekolah rendah, Cik Nadiah pernah melihat situasi di mana pelajar bertanya guru Asia mereka sekiranya mereka mempunyai Covid-19 atau jika mereka membawa Covid-19 ke Australia.

"Saya rasa setiap orang memainkan peranan dalam menghalang isu perkauman, tetapi sebagai seorang pendidik, saya rasa penting untuk kami terus mengajar dan membincangkan isu-isu ini bersama pelajar dalam cara yang inklusif dan selamat.

"Saya tidak risau tentangnya tetapi saya berusaha untuk memperbetulkannya," ujar anak sulung dua beradik itu.

Beliau turut menambah ia menimbulkan keprihatinan bahawa dalam waktu sukar ini, orang ramai berpaling dan menunding jari antara satu sama lain ekoran xenofobia.

Sepanjang tempoh beliau menetap di Australia, Cik Nadiah berkata warga Australia secara umum sebenarnya bersikap toleran terhadap pendatang asing seperti beliau.

"Mereka menyambut anda dengan tangan terbuka dan berfikiran terbuka. Ramai di antara mereka juga berusaha untuk mengenali kaum lain.

"Masyarakat Australia mempunyai ramai warga asing justeru saya rasa mereka telah menerima hakikat tersebut," katanya.

Di sekolah pula, mereka meraikan hari keharmonian di mana guru seperti Cik Nadiah mengajar pelajar tentang kebaikan, bagaimana untuk saling hormat-menghormati dan tinggal dalam sekitaran berbilang budaya memandangkan negara Australia kini mempunyai ramai pendatang asing.

Malah, pelajar juga mempelajari bahasa kedua seperti Mandarin dan bahasa Indonesia serta mempelajari lebih tentang budayanya.

Harapan Cik Nadiah adalah agar pandemik beransur pulih dan pada masa yang sama mengajar orang ramai untuk berlaku baik antara satu sama lain.

Beliau berkata: "Seperti semua orang, saya harap sekatan dilonggarkan dan sempadan dibuka.

"Secara peribadi, saya berharap dapat disatukan semula dengan keluarga saya di Singapura.

"Saya harap ia juga membuka lebih banyak perbualan tentang kepentingan keharmonian kerana pandemik ini menjejas semua, dan suka ataupun tidak, kita sedang mengharunginya bersama-sama."

"Saya rasa setiap orang memainkan peranan dalam menghalang isu perkauman, tetapi sebagai seorang pendidik, saya rasa penting untuk kami terus mengajar dan membincangkan isu-isu ini bersama pelajar dalam cara yang inklusif dan selamat.

Saya tidak risau tentangnya tetapi saya berusaha untuk memperbetulkannya."

- Cik Nadiah Muhamad Nasir, guru sekolah rendah di Perth, Australia. AUSTRALIA

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg