SATU produk perasa sate telah ditarik semula setelah toksin tahap tinggi yang boleh menyebabkan barah dikesan, menurut kenyataan Agensi Makanan Singapura (SFA) semalam.
Instant Satay Spices, produk setempat yang dikeluarkan oleh Li Kwong Agencies Co didapati mengandungi aflatoksin melebihi tahap yang dibenarkan.
SFA telah mengarahkan pengeluar itu untuk menarik balik semua kumpulan produk yang mempunyai tarikh luput 19 Januari 2022 dan dijual dalam paket 50 gram dan 500 gram.
Selain menyebabkan barah, aflatoksin juga boleh menyebabkan kecacatan semasa lahir atau mutasi, dan pendedahan melalui makanan harus dijaga serendah mungkin, kata SFA.
Toksin boleh berlaku kepada makanan seperti kacang tanah, akibat pencemaran kulat sebelum dan selepas penuaian.
"Oleh kerana pengeluar juga memproses produk kacang tanah lainnya, SFA sedang melakukan penyelidikan lanjut dan meningkatkan pemeriksaan terhadap produknya," tambah agensi itu.
Pelanggan yang telah membeli produk itu dinasihat agar tidak menggunakannya lagi.
Mereka juga boleh menghubungi kedai di mana mereka membeli produk tersebut untuk pertanyaan.
Mereka yang telah memakannya dan mempunyai kebimbangan mengenai kesihatan mereka harus mendapatkan nasihat perubatan, kata SFA.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg