Topik diikuti
Pergi ke BHkuSFA tarik balik rempah sate dengan toksin yang sebabkan barah, kecacatan kelahiran
SFA tarik balik rempah sate dengan toksin yang sebabkan barah, kecacatan kelahiran
SATU produk rempah sate telah ditarik balik setelah sejenis toksin penyebab barah dikesan pada paras tinggi di dalamnya, kata Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Isnin (15 Mac). Instant Satay Spices yang dikeluarkan oleh pengeluar tempatan Li Kwong Agencies Co didapati mengandungi aflatoksin melebihi tahap yang dibenarkan. SFA telah mengarahkan pengeluar itu agar menarik balik semua produk tersebut yang mempunyai tarikh luput 19 Januari 2022, dan dijual dalam paket 50 gram dan 500 gram. Selain menyebabkan barah, aflatoksin juga boleh menyebabkan mutasi atau kecacatan kelahiran, dan pendedahan melalui makanan perlu dipastikan pada paras serendah mungkin, kata SFA. Toksin itu boleh ditemui pada makanan seperti kacang tanah dan disebabkan oleh pencemaran kulat sebelum dan selepas penuaian. Kacang tanah adalah antara bahan dalam Instant Satay Spices. "Memandangkan pengeluar itu turut memproses produk kacang tanah lain, SFA sedang menjalankan pemeriksaan lanjut dan meningkatkan pemeriksaan ke atas produknya," tambah agensi itu. Pelanggan yang telah membeli produk yang terjejas disarankan agar tidak memakannya. Mereka boleh menghubungi kedai tempat mereka membeli produk tersebut jika mempunyai sebarang pertanyaan. Mereka yang telah memakannya dan bimbang akan kesihatan mereka harus mendapatkan nasihat perubatan, kata SFA.