Topic followed successfully
Go to BHkuSFA teroka import ayam dari Indonesia
SFA teroka import ayam dari Indonesia
SFA teroka import ayam dari Indonesia
SINGAPURA sedang meneroka kemungkinan mendapatkan sumber ayam dari Indonesia selepas ia berhadapan dengan gangguan pada bekalan apabila Malaysia menggantung eksportnya.
Agensi Makanan Singapura (SFA) sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa Indonesia "bagi meneroka pentauliahan Indonesia sebagai satu potensi sumber import ayam", kata agensi tersebut dalam satu kenyataan kelmarin.
"Sebagai sebahagian daripada proses pentauliahan, SFA menjalankan penilaian dokumentari dan pemeriksaan di tapak lokasi bagi memastikan cawangan dan kebun luar negara mampu memenuhi keperluan import Singapura dan peraturan keselamatan makanan sebelum ia boleh mula dieksport ke Singapura," katanya dalam respons kepada pertanyaan akhbar The Straits Times (ST).
Indonesia belum pernah menjual ayam kepada Singapura, dan sejauh ini hanya mengeksport telur asin, berjumlah sekitar 50,000 biji sebulan kepada jiran terdekatnya.
Indonesia yang merupakan ekonomi terbesar di rantau Asia Tenggara, membekalkan anak ayam berusia sehari kepada negara-negara jiran, seperti Vietnam dan Myanmar, dan juga mengeksport ayam beku dan ayam yang diproses seperti nuget dan sosej, kepada beberapa negara termasuk Jepun dan Timor Leste.
Pengarah agung bagi penternakan dan kesihatan Kementerian Pertanian Indonesia, Dr Nasrullah, memberitahu ST kelmarin bahawa sebuah pasukan SFA telah ke Indonesia sejak Selasa lalu untuk menilai beberapa kebun, tempat penyembelihan, kemudahan pemerosesan dan aspek relevan yang lain.
Ditanya sekiranya Indonesia akan mengeksport ayam hidup atau beku ke Singapura, berapa banyak bekalannya dan bila eksport tersebut akan bermula, beliau menjawab:
"Ia semua bergantung pada keputusan tinjauan tersebut.
"Jika kualiti dan harganya sepadan (permintaan Singapura) (bekalan) boleh mula," tambah Dr Nasrullah.
Pengerusi Persatuan Pembiak Ayam Itik Indonesia, Encik Achmad Dawami, pula berkata pasukan SFA itu sedang menjalankan pemeriksaannya di wilayah dengan potensi tinggi mengeksport ayam ke Singapura, seperti Jawa Barat dan Jawa Tengah.
Beliau berkata beberapa syarikat ayam itik bersepadu Indonesia yang menguruskan kebun dan operasi pemerosesan berkemungkinan membekalkan kepada negara ini.
Dalam beberapa tahun lalu, Indonesia berhadapan dengan bekalan ayam yang berlebihan, dengan penghasilan dianggar sekitar 15 peratus lebih tinggi daripada permintaan domestiknya - sebelum penularan Covid-19, menurut kementerian dagangannya.
Situasi itu diburukkan lagi akibat pandemik, dengan lebihan mencecah 48 peratus pada 2020, dan 36 peratus tahun lalu.
Negara dengan penduduk keempat terbesar dunia itu - seramai 270 juta penduduk - memerlukan 2.9 bilion ayam tahun ini.
Namun, dengan penghasilan ayam dijangka 3.8 bilion, akan terdapat sekitar 900 juta lebihan ayam, menurut anggaran kementerian itu.

