SEBUAH kursus pensijilan profesional mengenai prinsip dan amalan sel terapi - yang pertama di Asia - telah dilancarkan di negara ini.
Ia hasil kerjasama antara Institut Terapi Sel Lanjutan dan Kajian Singapura (Actris) dan Sekolah Perubatan Yong Loo Lin Universiti Nasional Singapura (NUS).
Menurut satu kenyataan Konsortium bagi Penyelidikan Klinikal dan Inovasi Singapura (Cris), kerjasama itu, yang diumumkan semasa pelancaran Cris semalam, akan melengkapi karyawan penjagaan kesihatan dan kakitangan biomedikal dengan latihan dan pengetahuan yang diperlukan dalam imuno-terapeutik.
Sepanjang 13 minggu, peserta kursus itu akan dilengkapi dengan pengetahuan berkaitan implikasi amalan terapi sel dan memahami kawalan mutu dan aspek pengilangan dan aplikasi terapi berdasarkan sel pada pesakit.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terapi sel muncul sebagai rawatan amat berkesan bagi beberapa jenis barah dan ia menelan kos yang tinggi untuk dibangunkan serta dikeluarkan, kerana sering ini memerlukan teknologi canggih serta karyawan pakar.
Maka itu, pelancaran kursus tersebut adalah langkah pertama dalam membina kepakaran tukikan dan cara pengeluaran serta pentadbiran produk terapi sel untuk Singapura, menurut kenyataan itu.
Kursus tersebut bermula pada 27 April.
Dalam pada itu, satu lagi kerjasama dijalin - antara Institut Penyelidikan Klinikal Singapura (Scri) dan syarikat teknologi kesihatan tempatan Oncoshot.
Di bawah satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai, Scri akan memanfaatkan teknologi Oncoshot yang mempunyai potensi untuk merangsang usaha pengambilan dan penilaian pesat dalam percubaan onkologi yang dijalankan di institusi penjagaan kesihatan awam.
Menurut satu kenyataan, Scri akan bekerjasama dengan Oncoshot dalam Projek EISE, kerjasama serata negara pertama di sini, yang menghubungkan pesakit barah, karyawan penjagaan kesihatan awam dan swasta dengan syarikat bioteknologi serta farmaseutikal dalam satu sistem eko.
MOU itu akan membantu mengatasi dua cabaran utama yang dihadapi dalam menilai dan mengambil peserta dalam percubaan klinikal di institusi penjagaan kesihatan awam dengan menyediakan akses kepada penyiasat percubaan klinikal kepada kumpulan pesakit lebih luas daripada pelbagai institusi.
Selain itu, ia akan menyediakan satu wadah untuk penyiasat percubaan klinikal mencari pesakit sesuai bagi percubaan yang dijalankan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg