SINGAPURA merakam detik bersejarah dalam usahanya memerangi Covid-19 semalam.
Selepas lebih dua tahun berada di tahap 'Jingga' atau "risiko tinggi" di bawah Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon), negara ini kini telah menurunkan tahap risiko penularan Covid-19 itu ke paras 'Kuning'.
Dengan hampir kesemua langkah pengurusan selamat untuk menangani Covid-19 di Singapura kini ditiadakan atau dilonggarkan hingga semalam, ini juga bermakna keadaan sudah kembali hampir seperti sebelum Covid-19.
Antara lain, kebanyakan tempat termasuk pusat beli-belah, pasar raya dan masjid tidak lagi memerlukan pengunjung menggunakan aplikasi atau token TraceTogether mereka untuk masuk.
Sementara itu, lebih ramai orang juga dilihat berada di kawasan pusat bandar semalam, dengan semua pekerja dibenarkan kembali ke tempat kerja.
Meskipun masih tidak sama seperti sebelum Covid-19, pekerja di kawasan itu berkata keadaan tentunya rasa semakin hampir dengan keadaan seperti sebelum Covid-19 mula menular dua tahun lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg