Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SG orak langkah awal ke arah Covid-19 yang endemik

Lima orang kini boleh duduk semeja, lakukan senaman bersama di lokasi tertutup
Jul 13, 2021 | 5:30 AM
MASIH BELUM PENUH, TAPI PENIAGA SIKAP OPTIMIS: Pelanggan di restoran dan kedai F&B dikunjungi BH semalam dilihat kian bertambah, seperti di pusat penjaja di Haig Road ini. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
MASIH BELUM PENUH, TAPI PENIAGA SIKAP OPTIMIS: Pelanggan di restoran dan kedai F&B dikunjungi BH semalam dilihat kian bertambah, seperti di pusat penjaja di Haig Road ini. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

SINGAPURA mengorak langkah pertama dalam pelan pembukaan semula secara bertahap-tahap ke arah keadaan Covid-19 yang endemik semalam dengan kelonggaran kepada beberapa langkah pengurusan selamat.

Berkuatkuasa sejak 21 Jun sebelum dilonggarkan sedikit semalam, antaranya lima orang boleh menjamu selera semeja di kedai-kedai makan dan kegiatan tanpa pelitup di gimnasium juga dilonggarkan.

Meskipun belum ke tahap full house, pemilik gerai makanan tetap optimis dan berharap kelonggaran pada peraturan makan di luar dapat menambah rezeki mereka.

Langkah tersebut disambut baik peniaga dan juga pelanggan yang ditinjau Berita Harian (BH), dan mereka berkongsi harapan agar had tersebut akan terus dilonggarkan dalam masa terdekat.

Penjaja di pusat makanan Geylang Serai, Cik Nina Husin, 31 tahun, akui mengalami kerugian yang teruk semasa fasa-fasa sebelum ini dan berharap keadaan terus bertambah baik supaya peniaga seperti beliau dapat bangkit semula.

"Memang ada kemungkinan besar perniagaan bertambah baik apabila lebih ramai boleh duduk makan, terutama sekali bagi mereka yang ke pasar di (tingkat) bawah atau beli-belah di Geylang dengan keluarga.

"Dari segi persiapan, mungkin kami akan sediakan kakitangan untuk bantu pastikan langkah keselamatan tetap dijaga, terutama sekali jika lebih ramai orang datang pada hujung minggu," ujarnya.

Meskipun begitu, beliau tidak menjangkakan keadaan akan kembali seperti tempoh sebelum Covid-19 dan hanya berharap perniagaannya dapat bertahan.

Dengan had dua orang yang dikuatkuasakan sebelum ini, keluarga dengan lebih ramai anggota akui menghadapi kesukaran apabila perlu makan di luar kerana terpaksa duduk di meja berasingan yang dijarakkan satu meter.

Namun mulai semalam, sehingga lima orang boleh duduk semeja.

Mengalu-alukan langkah tersebut, Cik Suharti Hamid, 51 tahun berkata:

"Semasa keluar dengan suami dan dua anak saya sebelum ini, kami terpaksa duduk berasingan - saya dan suami di satu meja, dan anak-anak di meja lain. Kami juga tidak dibenarkan berbual atau kongsi makanan dengan mereka.

"Jadi dengan adanya kelonggaran makan sehingga lima orang di satu meja, tentunya lebih baik, kami tak perlu dipisahkan," ujarnya.

Kelonggaran tersebut juga dapat memudahkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil, seperti Encik Amal Adnan, 33 tahun.

Antara kelonggaran lain yang diumumkan sedang Singapura bergerak ke fasa seterusnya termasuk membolehkan kumpulan sehingga lima orang untuk melakukan aktiviti sukan dan senaman dalam lokasi tertutup, sementara had 50 orang dikenakan bagi kelas aktiviti di dalam dan di luar.

Pemilik gim Legends Fight Sport, Encik Muhamad Ridhwan Ahmad, yang baru membuka cawangan di Tampines, berkata beliau berharap keadaan akan terus kembali menjadi normal.

"Pelanggan kami gembira sebab keadaan hampir kembali kepada normal. Dari segi perniagaan, ia semakin pulih tetapi dengan orang ramai masih bekerja dari rumah, mereka jarang keluar dan untuk ke gim, ia memerlukan usaha tambahan yang mereka mungkin belum bersedia untuk lakukan," ujar beliau.

Laporan lanjut:

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg