Topik diikuti
Pergi ke BHkuSG perketat pengurusan selamat, kekang kes Covid-19 meningkat
Antaranya makan di luar dihad semula kepada 2 orang; 5 orang dibenar jika telah jalani vaksinasi
SG perketat pengurusan selamat, kekang kes Covid-19 meningkat
MULAI Isnin ini, hanya individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 dibenar makan luar lima semeja, sementara had dua orang semeja diperkenal sekali lagi bagi mereka yang masih belum divaksin.
Ini selepas Kementerian Kesihatan (MOH) memperketat sebahagian langkah keselamatan untuk mengawal kes jangkitan yang melonjak, kebanyakannya berkait kelompok pusat hiburan KTV yang semakin meluas.
Sebanyak 120 kes jangkitan kini dikaitkan dengan kelompok itu sejak ia dikenal pasti lima hari lalu, dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, menyifatkannya sebagai "hambatan besar" bagi proses pemulihan Singapura.
Bercakap di sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 semalam, Encik Gan, yang juga pengerusi bersama pasukan itu, berkata beliau tidak dapat menafikan kemungkinan sekatan lebih ketat diambil jika keadaan kian teruk.
Dari 19 Julai hingga 8 Ogos ini, had makan luar dua orang semeja - yang baru dilonggarkan kepada lima sejak Isnin lalu - dikenakan sekali lagi di pusat makanan dan kedai kopi.
Orang yang belum divaksin juga dikenakan had makan di luar yang sama.
Orang yang telah melengkapkan vaksinasi - 14 hari selepas menerima dos kedua - boleh makan di luar lima semeja, jika tempat makan itu berupaya memeriksa status vaksinasi mereka.
Begitu juga dengan orang yang belum divaksin sepenuhnya, tetapi mempunyai hasil ujian praacara (PET) yang negatif atau yang telah sembuh dari Covid-19.
Kanak-kanak bawah 12 tahun - yang tidak boleh divaksin - dibenar makan luar dalam kumpulan tidak melebihi lima orang dari isi rumah yang sama.
Menjelaskan keputusan membezakan sekatan di kedai kopi dan pusat makanan dengan tempat makanan dan minuman (F&B) yang lain, MOH berkata pelanggan lebih mudah keluar masuk dari kedai kopi dan pusat makanan, dan adalah sukar untuk memeriksa status pelanggan sebelum mereka masuk dan mendapatkan meja.
Selain peraturan makan luar, langkah keselamatan di tempat tertutup yang dianggap lebih berisiko juga diperketat, termasuk di gimnasium dan studio senaman. Hanya 30 orang dibenar melakukan kegiatan serentak di tempat-tempat ini dan mereka hanya boleh dipecah kepada kumpulan dua orang.
Semalam, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata kementerian itu sedang mengambil pendekatan empat bulatan untuk mengekang penularan Covid-19 yang bersumber dari kelompok KTV.
Seramai 2,480 kakitangan dan pelanggan - yang dikenal pasti melalui data SafeEntry dan TraceTogether - telah dikuarantin dalam peringkat bulatan pertama dan akan diuji berulang kali.
Bagi bulatan kedua, kakitangan dan pelanggan yang tidak dapat dikenal pasti telah diundang menjalani ujian dan tiada kes positif dikesan dalam kalangan 1,003 orang yang tampil.
Bagi bulatan ketiga pula, 2,000 orang yang tidak semestinya telah pergi ke KTV yang terjejas tetapi dikesan menerusi data TraceTogether sebagai berhubungan dengan kes Covid-19 telah diperintah di bawah undang-undang untuk menjalani ujian dan mengasingkan diri sehingga mereka mendapat hasil ujian negatif.
Lagi beberapa ribu individu, yang telah pergi ke lokasi KTV atau tempat serupa telah diberi pesanan melalui SMS supaya memantau kesihatan selama 14 hari.
Pada masa yang sama, operasi 400 pusat hiburan, yang diubah menjadi kedai F&B untuk meneruskan perniagaan mereka semasa pandemik, digantung mulai semalam hingga 30 Julai.
Menurut MOH, kakitangan pusat hiburan tersebut akan menjalani ujian Covid-19 dan protokol pengurusan keselamatan di tempat-tempat ini akan dipastikan terus dikuatkuasa dengan betul sebelum dibenarkan untuk terus beroperasi.
ANTARA LANGKAH YANG DIPERKETAT
19 JULAI - 8 OGOS
- Makan dua orang semeja - Di pusat makanan, kedai kopi - Orang yang belum divaksin
- Makan lima orang semeja (di tempat makanan yang berupaya memeriksa status vaksinasi pelanggan) - Orang yang telah divaksin sepenuhnya (dua minggu selepas dos kedua) - Individu yang dijangkiti Covid-19 tetapi telah sembuh (dalam tempoh 270 hari) - Individu yang belum divaksin namun mempunyai hasil ujian PET yang negatif untuk tempoh itu - Kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah boleh makan di luar dengan keluarga yang penuhi syarat
- Aktiviti intensiti tinggi di tempat tertutup - Setiap kelas hanya boleh dihadiri 30 individu, termasuk instruktor. Mereka boleh dipecahkan kepada kumpulan dua orang
LAPORAN LANJUT:
