SG perlu seimbang keperluan berbeza dalam sahut cabaran perubahan iklim: SM Teo
SG perlu seimbang keperluan berbeza dalam sahut cabaran perubahan iklim: SM Teo
Disebabkan sumber tenaga alternatif, tanah dan tenaga manusia yang terbatas, S'pura atasi hambatan melalui perancangan berhati-hati, inovasi dalam dasar dan teknologi
PERUBAHAN iklim menimbulkan cabaran untuk Singapura, tetapi hambatan unik negara ini bermakna mencapai tukar ganti (trade off) atau keseimbangan antara keperluan berbeza dalam mengurangkan pengeluaran karbon adalah lebih ketara daripada negara lain, kata Menteri Kanan Teo Chee Hean.
Beliau menarik perhatian bahawa Singapura memiliki sumber tenaga alternatif, tanah dan tenaga manusia yang terbatas.
"Pengeluaran karbon kita menyebabkan hambatan yang menjejas semua aspek terhadap pembangunan kita dan kehidupan harian warga Singapura," ujar Encik Teo di Parlimen semasa perbahasan mengenai pelan kemampanan pemerintah.
Namun, Singapura sedang berusaha mengatasi hambatan itu menerusi perancangan berhati-hati dan jangka panjang serta inovasi dalam dasar dan teknologi, kata Encik Teo yang juga Menteri Penyelarasan bagi Keselamatan Nasional.
Dalam ucapannya itu, Encik Teo menggariskan bagaimana negara ini sedang mengambil pendekatan kolektif dan komited terhadap krisis iklim global.
Ini termasuk cukai karbon - yang meliputi 80 peratus daripada pengeluaran karbon Singapura - adalah lebih sejajar dengan kos sebenar pengeluaran karbon dengan pengeluar karbon, jelas beliau.
Encik Teo meyakinkan Parlimen bahawa pemerintah akan menyemak semula paras cukai karbon pasca 2023, dengan rundingan bersama industri dan kumpulan pakar.
"Kami berusaha untuk mencapai paras cukai karbon yang akan memberi insentif kepada syarikat dan pengguna untuk beralih kepada produk mesra karbon, khidmat dan kegiatan, sementara menggalak invosi dan pertumbuhan hijau baru," tambah beliau.
Dari segi pekerjaan, Encik Teo juga menarik perhatian peralihan kepada tenaga lebih bersih akan mengurangkan permintaan untuk bahan api fosil yang lebih intensif karbon.
Pada 3 Mac, ExxonMobil mengumumkan bahawa ia akan mengurangkan sekitar 300 jawatan daripada tenaga kerja di negara menjelang akhir tahun ini.
Ini selepas syarikat gergasi minyak Royal Dutch Shell mengumumkan pada November lalu bahawa ia akan memberhentikan 500 pekerja d sini dan mengurangkan separuh daripada keupayaan pemprosesannya di Pulau Bukom dalam tiga tahun mendatang.
Encik Teo berkata permintaan bahan api yang mampan dan produk petrokimia bernilai tambahan lebih tinggi dan kimia khas, akan berkembang kerana diperlukan untuk sistem eko hijau moden seperti panel solar, bateri dan bahagian kenderaan elektrik.
Beliau menukil contoh bagaimana Neste, pengeluar minyak diesel diperbaharui terbesar di dunia dan bahan pembakar penerbangan mampan, akan meluaskan keupayaan pengeluarannya di sini.
Syarikat-syarikat akan perlu menyesuaikan model perniagaan mereka dan pekerja akan perlu beralih ke pekerjaan dalam bidang pertumbuhan baru.
Menjawab soalan para Anggota Parlimen (AP) seperti Encik Louis Ng (GRC Nee Soon) yang bertanya jika Singapura merancang menetapkan matlamat iklim lebih bercita-cita tinggi, Encik Teo meyakinkan mereka bahawa matlamat ini tidak statik.
"Kita akan meneruskan langkah yang berada dalam kawalan kita, tetapi berapa awal kita boleh mencapai sifar pengeluaran karbon akan menjadi lebih jelas apabila kita menimba pengalaman daripada melaksanakan program sedang teknologi berubah dan kerjasama antarabangsa dirasmikan," terang Encik Teo.
Misalnya, dari segi tenaga, kemampuan Singapura untuk memanfaatkan tenaga diperbaharui adalah terbatas.
"Memandangkan tanah kita terbatas, kita perlu menampung bukan sahaja perumahan, taman dan pusat komersial tetapi juga loji tenaga, kolam air, lapangan udara dan laut serta industri.
"Tukar gantinya adalah nyata, dan seringkali pilihan yang perlu dibuat adalah sukar," tekan Encik Teo.
"Kami berusaha untuk mencapai paras cukai karbon yang akan memberi insentif kepada syarikat dan pengguna untuk beralih kepada produk mesra karbon, khidmat dan kegiatan, sementara menggalak invosi dan pertumbuhan hijau baru... Memandangkan tanah kita terbatas, kita perlu menampung bukan sahaja perumahan, taman dan pusat komersial tetapi juga loji tenaga, kolam air, lapangan udara dan laut serta industri. Tukar gantinya adalah nyata, dan seringkali pilihan yang perlu dibuat adalah sukar." - Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.
SG TEMPAT UJIAN SESUAI BAGI PENERIMAAN PANTAS EV
"Di banyak negara, memandu dari bandar ke bandar adalah satu kebiasaan dan ini membuat pengguna kenderaan elektik (EV) prihatin mengenai penggunaan bateri. Namun dalam sekitaran bandar kita, Singapura adalah tempat ujian paling sesuai bagi penerimaan pantas EV. Kita boleh menerajui teknologi ini dan menggerakkan teras penting dalam Pelan Hijau Singapura." - Menteri Pengangkutan, Encik Ong Ye Kung.
PUPUK PELAJAR JADI PENERAJU EKO
"Kita mempunyai rancangan yang besar dan ini bukan hanya matlamat mengurangkan pengeluaran karbon, malah setanding atau lebih penting lagi, adalah usaha memupuk nilai-nilai, kemahiran dan pengetahuan bagi anak-anak kita untuk menjadi penjaga sekitaran yang bertanggungjawab. Kita berkata setiap pelajar boleh menjadi peneraju eko sepanjang hayat, di mana mereka mempunyai keprihatinan yang munasabah terhadap sekitaran dan memahami maksud hidup secara mampan." - Menteri Pendidikan, Encik Lawrence Wong.
GESA SEKTOR AWAM AMALKAN NIAGA MAMPAN
"Sebagai pengguna utama barangan dan perkhidmatan, sektor awam boleh dan akan mempengaruhi industri untuk mengamalkan dan membuat pilihan perniagaan yang mampan dengan cara menerapkan lebih banyak syarat berhubung kemampanan dalam rangka kerja pemerolehan kita." - Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
REBUT PELUANG DALAM EKONOMI HIJAU
"Sedang kita menyatakan komitmen bagi masa depan lebih hijau, kita harus juga membangun secara hijau, dengan merebut peluang baru dalam ekonomi hijau." - Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing.
KEMAMPANAN SATU PERJALANAN JANGKA PANJANG
"Kemampanan merupakan satu maraton yang kita tidak mampu lari seorangan. Dan perlu meneruskannya untuk jangka masa yang panjang - menjadi penjaga yang bertanggungjawab bukan hanya untuk anak-anak kita, namun juga anak-anak mereka. Dengan semangat ini, marilah kita bersatu, mengorak langkah ke arah perjalanan kemampanan yang seterusnya, menjadikan Pelan Hijau satu realiti, dan membina Singapura yang boleh kita banggakan." - Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

