SINGAPURA akan menyumbang AS$5 juta ($6.6 juta) untuk membantu 92 negara berpendapatan rendah hingga sederhana mendapat akses kepada vaksin Covid-19.
Sumbangan tersebut akan dilakukan menerusi Komitmen Pasaran Maju (AMC) Kemudahan Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax), umum Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan bersama semalam.
"Perpaduan global diperlukan bagi respons antarabangsa berkesan terhadap pandemik ini.
"Sebagai sokongan berterusan kami kepada ketersediaan vaksin pelbagai hala, dan akses serta peruntukan vaksin adil dan saksama, Singapura akan menyumbang AS$5 juta kepada mekanisme Covax AMC," kata MHA dan MOH.
Negara yang layak menerima bantuan AMC itu termasuk beberapa negara Asean dan negara kecil lain di seluruh dunia.
Singapura juga akan terus bekerjasama rapat dengan rakan sekerja antarabangsa lain, terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO); perikatan vaksin global, Gavi; dan Gabungan bagi Inovasi Kesediaan Epidemik untuk memajukan ketersediaan vaksin pelbagai hala dan membina respons global terhadap pandemik ini.
Sementara itu, pengarah Eropah WHO Hans Kluge berkata kemajuan dalam pembangunan vaksin Covid-19 adalah sesuatu "luar biasa".
Ini berikutan langkah United Kingdom meluluskan vaksin Covid-19 yang dihasilkan Pfizer dan BioNTech.
Menyampaikan ucapan dari Copenhagen, Denmark, Dr Kluge berkata bekalan vaksin amat terhad pada peringkat awal, dan negara-negara mesti membuat keputusan tentang siapa akan diberi keutamaan.
Namun, beliau menambah bahawa terdapat "kata sepakat meningkat" di WHO bahawa mereka yang patut menerima vaksin tersebut pada peringkat awal semestinya adalah warga emas, pekerja perubatan dan mereka yang mempunyai penyakit lain.
Meskipun koronavirus Covid-19 berpotensi terus mengakibatkan "kerosakan besar", Dr Kluge berkata "masa depan tampak cerah" kerana vaksin lain, termasuk daripada Moderna dan AstraZeneca, juga telah menunjukkan hasil percubaan positif.
"Lebih banyak pilihan vaksin kita ada, lebih banyak peluang kejayaan.
"Vaksin berserta langkah kesihatan awam lain boleh membawa kita ke penghujung fasa akut pandemik ini dan pembinaan semula ekonomi boleh dilakukan," ujar beliau.
Dalam pada itu, pengawal selia Kesatuan Eropah (EU) berkata, dalam respons kepada kelulusan Britain bagi vaksin Pfizer, ia mempunyai prosedur tersendiri yang lebih panjang dan memerlukan lebih banyak bukti, lapor Reuters.
Pegawai WHO yang ditanya tentang proses pengawalseliaan berlainan bagi kelulusan vaksin berkata ia dan Agensi Perubatan Eropah telah meminta Britain berkongsi dokumen yang digunakan untuk memberi kelulusan tersebut.
Ini agar badan-badan lain juga dapat mempercepat penilaian masing-masing.
SG sokong ketersediaan vaksin pelbagai hala
"Perpaduan global diperlukan bagi respons antarabangsa berkesan terhadap pandemik ini. Sebagai sokongan berterusan kami kepada ketersediaan vaksin pelbagai hala, dan akses serta peruntukan vaksin adil dan saksama, Singapura akan menyumbang AS$5 juta kepada mekanisme Covax AMC." - MHA dan MOH.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg