SINGAPURA terbuka kepada usulan baru daripada Malaysia berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.
Ini menyusuli pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam di mana Encik Wong menarik perhatian bahawa Malaysia berminat memulakan semula perbincangan berhubung projek tersebut.
Projek itu telah dibatalkan setelah kededua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang disarankan Malaysia menjelang tarikh akhir 31 Disember 2020.
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, kini sedang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari kelmarin hingga esok.
Dalam pertemuan tersebut, PMO berkata Encik Wong dan Datuk Seri Ismail mengesahkan lagi kerjasama meluas antara Malaysia dengan Singapura.
"Kedua-dua pihak juga menyambut baik kemajuan baik yang dicapai Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura, yang akan mempertingkat keterhubungan apabila perkhidmatan bermula menjelang hujung 2026," ujar PMO.
Menurut kenyataan itu, Encik Wong juga mengulangi undangan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, kepada Datuk Seri Ismail untuk berkunjung ke Singapura bagi menghadiri Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia Ke-10.
Tambahnya, Datuk Seri Ismail dan Encik Wong mengalu-alukan usaha kerjasama antara Singapura dengan Malaysia bagi manfaat berterusan kedua-dua negara yang termasuk bidang kerjasama baru seperti ekonomi hijau dan digital.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg