SINGAPURA tidak dijangka keluar daripada fasa ketiga pembukaan semula dalam masa terdekat, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan, Dr Janil Puthucheary, semalam.
Fasa ketiga adalah "satu norma baru" yang akan berpanjangan hingga terdapat bukti tentang keberkesanan vaksin Covid-19 dalam mencegah penularan masa depan, tambahnya.
Selain itu, sejumlah penduduk Singapura perlu divaksinasi terlebih dahulu dan keadaan Covid-19 di serata dunia perlu dalam keadaan terkawal.
Dr Janil berkata keadaan Covid-19 di sini dan serata dunia kekal dinamik buat masa sekarang.
Pihak berkuasa juga sedang menunggu lebih banyak bukti vaksin yang diluluskan untuk digunakan di sini akan juga mencegah penularan varian baru koronavirus itu.
"Kami sedang memantau keberkesanan vaksin dengan lebih dekat terhadap varian baru yang tular," kata Dr Janil.
"Sementara itu, strategi terbaik kami ialah terus berdisiplin mengenai langkah pengurusan selamat dan mencapai paras vaksinasi tertinggi dalam kalangan penduduk kita untuk merangsang imuniti kolektif."
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Encik Yip Hon Weng (SMC Yio Chu Kang), yang bertanya tentang rancangan Singapura untuk keluar daripada fasa ketiga, serta kriteria yang perlu dipenuhi agar sekatan dapat ditarik balik.
Dr Janil berkata dalam fasa ketiga sekalipun Singapura memperketat langkah pengurusan selamat menyusuli peningkatan dalam kes tiada kaitan dan kelompok masyarakat.
Negara ini akan terus mencari jalan untuk membenarkan ekonomi dan masyarakat dibuka semula dalam keadaan selamat, katanya.
"Tetapi ekoran keadaan dinamik sekarang dan di serata dunia, kita perlu menyesuaikan langkah pengurusan selamat dari semasa ke semasa," ujarnya.
Encik Yip kemudian bertanyakan apakah kehadiran vaksin Sinovac China akan menganjak garis masa vaksinasi Singapura, sekiranya vaksin itu diluluskan untuk digunakan.
Dr Janil menjawab bahawa garis masa vaksin bergantung pada beberapa faktor, yang paling penting ialah keupayaan negara ini mempertingkat kelengkapan dan keupayaan pusat vaksinasi.
Faktor lain termasuk kesediaan rakyat Singapura divaksinasi serta bekalan vaksin.
Anggota pembangkang daripada Parti Pekerja (WP) Jamus Lim (GRC Sengkang) kemudian bertanya apakah Kementerian Kesihatan (MOH) boleh mengongsi perincian bagaimana ia merancang menangani penularan varian virus yang lebih berjangkit.
Dr Janil berkata terdapat asas dalam pendekatan Singapura bagi mencegah penularan dan menanganinya apabila berlaku.
Ini termasuk langkah pengurusan selamat, pengesanan kontak dan kuarantin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg