Masyarakat Melayu/Islam Singapura boleh menjangkakan pelbagai kegiatan serta acara bermakna sepanjang tahun untuk merenungkan sumbangan masyarakat kepada pembangunan negara, sedang Singapura meraikan 60 tahun kemerdekannya (SG60), pada 2025.
Ini merupakan sebahagian daripada usaha ‘SG60 Bersama’ yang dilancarkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa berucap di konsert meraikan ulang tahun keenam Wisma Geylang Serai (WGS) di Persada Budaya, pada 25 Januari.
Encik Masagos berkata ‘SG60 Bersama’ bertujuan memaparkan bagaimana masyarakat Melayu/Islam bersatu padu dalam meraikan pencapaian negara sepanjang enam dekad lalu dan menyusuri sumbangan orang Melayu dalam pembangunan Singapura.
“Pelbagai acara bakal dianjurkan sepanjang tahun ini dan saya menggalakkan anda untuk tampil menyokong supaya kita sama-sama dapat menjayakan acara-acara ini.
“Bak kata pepatah, mendukung bersama, terbang tinggi bersama. Ayuh kita raikan perjalanan negara kita dan mendukung nilai-nilai murni kita bersama sebagai masyarakat yang bersatu padu demi kejayaan Singapura seterusnya,” katanya.
Bagi menerajui usaha itu, kumpulan kerja yang terdiri antaranya daripada wakil pertubuhan Melayu/Islam, lembaga berkanun, kumpulan bantu diri dan golongan berkepentingan telah dibentuk.
Ia dipengerusikan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim di samping WGS sebagai sekreteriat.
Ditemui Berita Minggu (BM), Dr Faishal yang juga penasihat utama WGS, menjelaskan bahawa kumpulan kerja itu bertujuan menggembleng tenaga bersama pertubuhan Melayu/Islam Singapura yang berhasrat untuk adakan acara sempena sambutan SG60.
“Ia adalah untuk mendekati dan menggerakkan masyarakat Melayu/Islam di Singapura supaya mereka boleh menyumbang dan memainkan peranan dalam sambutan SG60 ini.
“Ia akan meluaskan jangkauan dalam menyebarkan mesej SG60. Ia juga memudahkan kerjasama antara pertubuhan,” katanya.
WGS akan berfungsi sebagai titik penghubung acara masyarakat melalui kerjasama rapat dengan sekreteriat SG60 pada peringkat nasional supaya dapat menyatukan usaha sebagai satu negara.
Mengulas antara acara yang boleh dijangkakan masyarakat, Dr Faishal berkata unsur utama yang diterapkan melibatkan nasionalisme, pembangunan negara dan kepelbagaian budaya.
Memberi contoh, Dr Faishal berkata acara yang tidak lama lagi akan diadakan iaitu mural masyarakat di dinding Persada Budaya, selain acara kemuncak ‘SG60 Bersama’ pada hujung 2025.
Menyentuh tentang pencapaian WGS, Dr Faishal berkata pada 2024, WGS telah menganjurkan lebih 150 program dan bekerjasama dengan lebih 45 rakan kongsi termasuk agensi pemerintah, pertubuhan dan kumpulan seni.
“Kerjasama ini telah memainkan peranan penting dalam penglibatan masyarakat yang berterusan merentasi pelbagai bidang - dari jangkauan sosial, inisiatif kebudayaan hinggalah ke program kesejahteraan,” katanya.
Encik Masagos dalam ucapannya menekankan bagaimana bangunan WGS sudah menjadi mercu tanda kebanggaan masyarakat Melayu/Islam.
“Sejak pembukaan rasminya pada 2019, WGS menjadi nadi bagi masyarakat dan juga merupakan wadah penting dalam memupuk kerjasama yang lebih erat antara badan-badan Melayu/Islam.
“Sepanjang enam tahun ini, kita telah saksikan pelbagai perubahan dan peningkatan di persekitaran Geylang Serai,” katanya.
Konsert ‘Budaya Disulam’ yang diadakan pada 25 Januari malam untuk meraikan perjalanan WGS selama enam tahun menerima sorakan gemuruh hampir 1,000 tetamu yang hadir.
Mereka dihiburkan dengan persembahan artis tanah air termasuk Rico Setiabudi, Rausyanfikir, Suryana Norddin, dan Syafiqah ‘Adha.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg