Topik diikuti
Pergi ke BHkuSGH, NHG Health beri amaran tentang iklan palsu promosi produk kesihatan
SGH, NHG Health beri amaran tentang iklan palsu promosi produk kesihatan
SGH, NHG Health beri amaran tentang iklan palsu promosi produk kesihatan
Hospital Besar Singapura (SGH) dan NHG Health meminta orang ramai agar berwaspada dengan iklan palsu yang menampilkan individu berpakaian seragam SGH atau NHG Health untuk mempromosikan produk kesihatan, sebagaimana yang tersebar di dalam talian.
Dalam satu hantaran Facebook pada 7 Julai, SGH berkata pihaknya menyedari terdapat iklan di platform media sosial yang menggambarkan seorang individu berpakaian seragam penjagaan kesihatannya untuk mempromosikan produk kesihatan.
Sebuah gambar yang disertakan bersama hantaran itu menunjukkan tangkap layar skrin daripada dua video TikTok yang menampilkan seorang wanita memakai kot makmal SGH dan pakaian seragam SingHealth.
SGH berkata individu yang ditampilkan dalam iklan tersebut bukanlah pekerja, wakil atau mempunyai kaitan dengan SGH, dan iklan itu tidak dibenarkan atau berkaitan dengan hospital tersebut.
“SGH tidak mempromosikan, mengiklankan atau menyokong sebarang jenama atau produk tertentu, selaras dengan Akta Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HCSA),” katanya.
Hospital itu menambah orang ramai harus berhati-hati ketika membeli produk kesihatan di dalam talian. Mereka boleh berunding dengan doktor atau karyawan kesihatan mereka untuk mengetahui sama ada produk itu sesuai, dan harus mengelakkan pembelian daripada sumber yang tidak dikenali atau meragukan.
Ia turut menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap dakwaan yang dibesar-besarkan, yang secara palsu membawa implikasi sokongan daripada SGH atau kakitangannya.
Secara berasingan, penyedia perkhidmatan kesihatan awam, NHG Health, berkata dalam satu hantaran Facebook pada 6 Julai bahawa pihaknya menyedari terdapat video yang tersebar dalam talian.
Video tersebut menunjukkan seorang individu berpakaian seragam penjagaan kesihatannya, mendakwa dirinya sebagai karyawan kesihatan atau ahli farmasi yang menjual produk perubatan.
Individu itu bukanlah pekerja, wakil atau berkaitan dengan NHG Health, tambahnya.
NHG Health merupakan salah satu daripada tiga kelompok penjagaan kesihatan awam Singapura. Sistem kesihatan bersepadunya termasuk Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), Hospital Woodlands, Hospital Masyarakat Yishun (YCH), Institut Kesihatan Mental (IMH), Pusat Kulit Nasional (NSC), Pusat Nasional Penyakit Berjangkit (NCID) dan Poliklinik Kumpulan Penjagaan Kesihatan Kebangsaan (NHG Polyclinics), yang mengendalikan 10 poliklinik.
Semakan oleh The Straits Times (ST) mendapati akaun TikTok yang dikenal pasti oleh SGH dalam hantaran Facebook turut memuatkan beberapa video individu yang sama, berpakaian pelbagai seragam, termasuk yang membawa logo rantaian farmasi tempatan.
Pada 2024, SGH turut memberi amaran kepada orang ramai mengenai iklan di platform media sosial yang menggunakan logonya untuk mempromosikan produk kesihatan.
Golongan penipu ini turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memperdaya rakyat Singapura. Dalam satu kes, seorang individu kerugian sekurang-kurangnya $4.9 juta selepas terpedaya dengan penipuan yang melibatkan peniruan pegawai pemerintah kanan menerusi teknik palsu asli, ‘deepfake’.
