SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Shanmugam: Harga elektrik akan melonjak jika perang TT berlarutan

Shanmugam: Harga elektrik akan melonjak jika perang TT berlarutan

Risiko gangguan bekalan tenaga, elektrik rendah, S’pura rancang tambah simpanan bahan api
Apr 7, 2026 | 7:17 PM

Shanmugam: Harga elektrik akan melonjak jika perang TT berlarutan

elektrik, bekalan tenaaga, bahan api, shanmugam
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, semasa di Parlimen pada 7 April. - Foto MDDI

Sungguhpun risiko gangguan terhadap bekalan elektrik dan tenaga bagi kegunaan domestik Singapura amat rendah, harga bekalan tenaga dan elektrik akan tetap meningkat di sini, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.

Beliau, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata gangguan terhadap bekalan elektrik dan tenaga tidak boleh diketepikan sama sekali, lebih-lebih lagi sekiranya pembekal tidak dapat melunaskan tuntutan untuk menghantar minyak atau gas.

Ketika menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen pada 7 April bagi menyentuh usaha yang diambil Singapura susulan konflik di Timur Tengah, beliau berkata gangguan terhadap bekalan elektrik dan tenaga “merupakan senario yang berkemungkinan rendah” buat masa ini.

Ini kali pertama beliau membentangkan usulan dan maklumat terkini selaku Pengerusi Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri (HCMC).

Jawatankuasa itu diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 2 April untuk menyelaraskan tindak balas Singapura terhadap konflik Timur Tengah.

Encik Shanmugam berkata: “Kedudukan kita sebelum krisis (Timur Tengah) dan langkah-langkah yang diambil sejak krisis ini telah membantu kita kekal stabil.

“Walaupun begitu, sekiranya gangguan bekalan meningkat dan jika pembekal tidak dapat membekalkan bekalan minyak atau gas, gangguan yang boleh berlaku ke atas bekalan domestik tenaga dan elektrik kita tidak boleh dielakkan sama sekali.”

Beliau akur walaupun kos bagi gas merupakan hampir separuh harga tarif yang dikawal selia, hanya sebahagian kos itu merangkumi harga tarif setakat ini.

Jika konflik ini berlarutan, katanya, Singapura boleh menjangkakan kenaikan harga elektrik yang lebih mendadak.

Oleh yang demikian, bagi mengurangkan risiko gangguan tenaga dan elektrik, Singapura telah mempelbagaikan sumber tenaga dari pelbagai negara.

Selain Timur Tengah, negara ini mengimport gas cecair asli – bahan api yang digunakan bagi menjana sekitar 95 peratus bekalan elektrik di sini – dari Australia serta Amerika Syarikat dan Mozambique, ujar Encik Shanmugam.

Entiti pemerolehan dan bekalan gas pusat GasCo, yang ditubuhkan pada 2025, pula telah mula membeli gas asli gantian bagi menggantikan bekalan gas asli dari Qatar, yang terganggu dek kerosakan ke atas loji gas asli setelah ia diserang, tambah beliau.

Di samping itu, Encik Shanmugam berkata Singapura telah memperoleh bekalan minyak mentah daripada sumber gantian dengan membayar harga semasa yang “jauh lebih tinggi”.

Harga minyak mentah Brent telah melonjak 70 peratus sejak konflik antara Amerika-Israel dengan Iran bermula pada 28 Februari, sekali gus menyebabkan rakyat Singapura turut rasai kesannya apabila kos bahan api dan tenaga meningkat.

Beliau menjangkakan harga bahan api dijangka kekal tinggi dalam masa terdekat meskipun jika konflik itu reda, memandangkan kerosakan yang berlaku pada prasarana di Timur Tengah akan mengambil masa untuk dibaiki.

“Kita telah saksikan kerosakan pada kemudahan minyak yang besar di Arab Saudi dan Bahrain.

“Meskipun Selat Hormuz dibuka sepenuhnya esok, kapasiti eksport bagi minyak dan gas sejagat tidak akan kembali kepada tahap sebelum konflik dengan pantas,” ujar Encik Shanmugam.

Dalam jangka masa lebih lama, kebimbangan lebih ketara adalah terhadap gangguan lebih luas terhadap rantaian bekalan sejagat yang menjejas barangan penting kepada ekonomi dan perkhidmatan penting Singapura, ujarnya.

Justeru, beliau berkata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) akan memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama dengan industri.

Menyentuh berkenaan HCMC dan Kumpulan Eksekutif Krisis Dalam Negeri (HCEG), beliau berkata kumpulan tersebut telah mengadakan pertemuan beberapa kali sejak Mac untuk membincangkan antara lain, isu merangkumi daya tahan tenaga dan makanan.

HCEG memastikan keputusan HCMC dilaksanakan dan pelbagai kementerian selaras dalam tindak balas mereka terhadap krisis ini.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg