JIKA dahulu beliau kerap berlari, kini rejim senaman Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, lebih kepada mengangkat berat dan melakukan latihan rintangan.
Sejak usianya mencecah 50-an tahun, lututnya tidak sekuat dahulu untuk melakukan senaman kardiovaskular seperti berlari.
Berkongsi tentang perjalanan kesihatannya dengan deejay radio One FM 91.3, Angelique Teo dan Flying Dutchman di The Big Show semalam, Encik Shanmugam berkata senaman memang sudah sebati dengan dirinya sejak beliau kecil lagi.
Ini kerana semasa di zaman kanak-kanak, bapanya akan mengejutkannya seawal 5 pagi lagi untuk bersenam.
Sehingga hari ini, beliau akan cuba menyelitkan senaman 30 hingga 45 minit beberapa kali dalam seminggu.
Encik Shanmugam, yang mendedahkan beliau peminat kelab bola sepak Arsenal, turut berkongsi rejim senamannya di media sosial untuk menggalakkan orang ramai bersenam.
"Apa guna hidup lima tahun lebih lama jika anda tergantung pada banyak sistem sokongan? Anda mahu dapat menikmati (kehidupan).
"Jadi saya seru kepada anda supaya bersenam. Saya letakkan di media sosial dan beritahu orang ramai kalau saya boleh melakukannya, anda pun boleh juga," kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg