Syarikat berdaftar di Singapura yang telah diberi notis oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) telah dimaklumkan dalam satu pertemuan bersama wakil peringkat tertinggi pemerintah Singapura pada 28 Oktober bahawa usaha memperoleh maklumat daripada syarikat berkenaan bukanlah untuk mencari pihak yang dipersalahkan.

Sebaliknya, ia adalah usaha Singapura untuk melakukan perkara yang benar, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.

Berkongsi kepada media selepas tamat pertemuan di bangunan The Treasury, beliau berkata pertemuan itu diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong dan Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, di samping dirinya sendiri.

Beliau berkata wakil daripada semua syarikat yang berkenaan hadir, dengan tempoh pertemuan berakhir dengan semua syarikat komited untuk memberikan kerjasama.

Encik Shanmugam berkata Kementerian Undang-undang (MinLaw) akan turut mengumumkan senarai firma siasatan dan firma guaman yang boleh dilantik dalam panel pakar, sambil menambah bahawa syarikat tersebut wajib melantik penilai yang dikenal pasti oleh Singapura.

Beliau memberi penekanan bahawa tindakan memperoleh maklumat daripada syarikat berkenaan bukanlah bagi mencari pihak untuk dipersalahkan, tetapi adalah atas dasar melakukan perkara yang betul.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata: “Kami perlu memastikan syarikat-syarikat di sini menjalankan operasi dengan cara yang tidak menjejaskan Singapura atau rantau ini.

“Pemerintah Singapura memandang serius perkara ini. Saya telah memaklumkan mereka (syarikat berkenaan) kami bersungguh-sungguh untuk mengambil tindakan dan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap isu ini.

“Kami akan meneroka segala saluran perundangan dan kawal selia yang tersedia, serta menggunakan segala kuasa yang ada pada kami untuk menentukan pihak bertanggungjawab, sekiranya terdapat unsur kebertanggungjawaban.

“Kami akan pastikan pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.”

Pertemuan wakil Singapura dengan wakil syarikat berkenaan menyusuli pendirian Singapura untuk menggunakan setiap instrumen perundangan dan kawal selia yang tersedia agar syarikat terkait menyebabkan jerebu serantau dipertanggungjawabkan.

Hal ini diutarakan Encik Shanmugam dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 19 Oktober tatkala jerebu mencapai tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat untuk beberapa hari.

10 syarikat berdaftar di Singapura yang telah diberi notis NEA di bawah THPA adalah Asia Pulp & Paper Company; Asia Pulp & Paper Company (China); Bumitama Agri; Golden Agri International dan First Resources.

Ini di samping Indofood Agri Resources; Kencana Agri; TSH Global Plantation; TSH Oversea dan Wilmar International.

Sebanyak lima daripada 10 syarikat sedemikian tersenarai dalam bursa SGX.